BENTONG 18 Dis - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru usahawan wanita agar menerapkan semangat Keluarga Malaysia dalam memartabatkan ekonomi mereka.
Beliau berkata, semangat kebersamaan, keterangkuman dan kesyukuran perlu diterapkan dalam menjalankan program keusahawanan.
"Saya ingin mengajak kesemua ahli persatuan usahawan wanita mengekalkan momentum sedia ada.
"Malah dengan adanya momentum itu, usaha memartabatkan ekonomi wanita juga lebih jitu," katanya ketika berucap pada majlis makan malam 'Menjalin Interaksi Melakar Memori' anjuran Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita) di sini malam tadi. Turut hadir Presiden Usahanita Datuk Faridah A. Jabbar, lapor Bernama.
Ismail Sabri berkata, usahawan wanita juga perlu kreatif dalam menjalankan perniagaan termasuk beralih kepada kaedah dalam talian terutama ketika keadaan negara berdepan pandemik COVID-19.
Beliau berkata selain itu pembungkusan juga perlu menarik bagi membawa perniagaan ke peringkat nasional dan global.
"Saya memberi jaminan bahawa kerajaan Keluarga Malaysia akan terus memberikan bantuan yang diperlukan oleh usahawan wanita, tidak mungkin kita akan tinggalkan mereka di belakang," katanya.
Ismail Sabri turut mengumumkan meluluskan sumbangan RM250,000 kepada Usahanita bagi persatuan itu menjalankan kegiatan keusahawanan untuk ahlinya.
"Saya berbangga dan mengucapkan syabas kepada Usahanita yang telah berada 37 tahun dan jasanya amat besar dalam melahirkan usahawan wanita di negara ini," katanya.
Beliau berkata, persatuan itu menjadi tonggak utama dalam membentuk dan membimbing usahawan wanita di negara ini.
Tambahnya prestasi persatuan yang telah berjaya mewujudkan peluang dan membimbing 35,000 ahli di bawah naungannya itu amat membanggakan.
"Tentang permintaan puan presiden untuk pelantikan senator dari kalangan wakil usahawan wanita kita akan lihat bagaimana kita boleh bantu nanti," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Faridah berkata, 20% ahlinya berjaya melebarkan sayap ke luar negara.
"Dalam usia 37 tahun kami telah bersedia untuk ke peringkat global. Kami menyasarkan lebih ramai ahli berjaya membawa perniagaan mereka ke peringkat luar negara," katanya.
Menyasarkan ahlinya akan bertambah 100,000 beberapa tahun lagi menjelang usia 40 tahun, Usahanita kini menjelajah negeri dan daerah bagi melengkapkan ahlinya dengan ilmu keusahawanan. - DagangNews.com