PM terima kunjungan hormat TPM Singapura di Putrajaya | DagangNews Skip to main content

PM terima kunjungan hormat TPM Singapura di Putrajaya

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersalaman dengan Lawrence Wong semasa menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Singapura yang juga Menteri Kewangan itu di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 5 September 2022. - Gambar BERNAMA

PUTRAJAYA 5 Sept - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura, Lawrence Wong di Perdana Putra di sini, yang menyaksikan kedua-dua negara terus memperkukuh hubungan akrab mereka.

 

Ini merupakan lawatan sulung Wong ke Malaysia selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri republik itu pada Jun 2022. Wong tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi empat hari.

 

Pada pertemuan hampir sejam itu yang bermula pada 5.30 petang, Ismail Sabri mengucapkan tahniah kepada Wong atas pelantikan beliau dan kedua-dua pemimpin mengulangi komitmen mereka untuk terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Singapura termasuk dengan meneroka bidang kerjasama baharu antara kedua-dua negara.

 

Singapura merupakan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia selepas China dengan nilai dagangan AS$29.85 bilion dan sumber import kedua terbesar Malaysia juga selepas China dengan import berjumlah AS$18.45 bilion dari Januari hingga Julai 2022.

 

Dari Januari hingga Disember 2021, pelaburan Singapura di Malaysia ialah sebanyak AS$38.62 bilion manakala pelaburan Malaysia di Singapura berjumlah AS$25.41 bilion bagi tempoh sama, Bernama melaporkan.

 

Turut hadir Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

 

 

pm

 

 

Semasa berada di Malaysia, Wong turut dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. - DagangNews.com