PM terima surat komitmen pelaburan AS$360 juta dari syarikat Qatar | DagangNews Skip to main content

PM terima surat komitmen pelaburan AS$360 juta dari syarikat Qatar

Surat komitmen itu disampaikan pengerusi syarikat tersebut Ahmad Hussain Al-Khalaf dalam lawatan Perdana Menteri di ladang sayuran organik, cendawan dan udang milik Agrico di Al-Khor pada Isnin. - Foto BERNAMA
Daripada Nor Hasliza Abdullah

DOHA 28 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menerima surat komitmen untuk pelaburan berjumlah AS$360 juta dari Agrico Qatar.

 

Surat komitmen itu disampaikan sendiri oleh pengerusi syarikat itu Ahmed Hussain Al-Khalaf pada majlis ringkas melawat ladang sayuran organik, cendawan dan udang milik Agrico di Al Khor, kira-kira 50 kilometer di utara Doha.

 

Turut hadir Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup dan Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh.

 

Terdahulu, Perdana Menteri dan delegasi Malaysia melawat Ladang Baladna milik Baladna Food Industries, lapor Bernama.

 

Ketibaan beliau disambut Pengerusi Kumpulan Baladna Food Industries Moutaz Al-Khayyat dan Pengarah Urusannya Ramez Al-Khayyat.

 

Perdana Menteri turut diberikan taklimat mengenai syarikat itu oleh ahli lembaga bebasnya Aidan Tynan.

 

Perdana Menteri dan delegasi Malaysia juga telah dibawa melawat pusat pengeluaran susu lembu Holstein berkualiti Baladna, yang menggunakan teknologi perahan ‘rotary’ terkini.

 

Hadir sama Menteri Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Qatar Sheikh Dr Faleh bin Nasser bin Ahmad Al-Thani. Perdana Menteri kini dalam rangka lawatan tiga hari ke Qatar. - DagangNews.com