PM tiba di Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong | DagangNews Skip to main content

PM tiba di Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR 6 Okt - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada jam 3.49 petang tadi.

 

Ketibaan Perdana Menteri yang menaiki kereta jenis Toyota Alphard berwarna putih disambut hampir 100 pengamal media yang berkampung di hadapan pintu utama Istana Negara seawal jam 7.30 pagi tadi, lapor Berita Harian.

 

Sesi Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini mendapat perhatian berikutan spekulasi mengatakan beliau akan memohon pembubaran Parlimen daripada baginda bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

 

Ismail Sabri juga dijangka turut membincangkan mengenai Bajet 2023 dalam pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, sebelum belanjawan negara itu dibentangkan di Dewan Rakyat petang esok.

 

Khabar angin mengatakan Perdana Menteri dijangka memohon perkenan baginda untuk pembubaran Parlimen tercetus susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Jumaat lalu yang membuat ketetapan supaya PRU-15 diadakan tahun ini.

 

Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang tiba di Pintu Utama Istana Negara dengan menaiki kenderaan Toyota Camry berwarna hitam untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong sekitar jam 2.15 petang tadi.

 

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan, semua spekulasi berhubung sama ada Bajet 2023 akan dibentangkan atau sebaliknya, akan terjawab esok.

 

Beliau tidak akan mendedahkan sebarang perkara membabitkannya atau semua pihak tidak lagi berdebar menunggu pembentangan Bajet 2023 yang dijadualkan esok di Dewan Rakyat.

 

"Tunggu esok. Kalau saya sebut datang hari ini, sudah tiada debarannya.

 

"Macam-macam spekulasi, ada kata bentang, ada kata tak bentang. Jadi lebih baik spekulasi itu diteruskan sampai esok baru tahu jawapannya," katanya kepada pemberita selepas pertemuannya dengan pegawai Kementerian Kewangan yang bertungkus lumus menyediakan dokumen Bajet 2023 di kementerian itu, hari ini. - DagangNews.com