PM tiba di New York ketuai delegasi Malaysia pada UNGA ke-77 | DagangNews Skip to main content

PM tiba di New York ketuai delegasi Malaysia pada UNGA ke-77

Pesawat yang membawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy pada 4.10 pagi (4.10 petang waktu Malaysia). - Gambar BERNAMA
Daripada D. Arul Rajoo

NEW YORK 22 Sept - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di sini untuk menyertai pemimpin dunia lain pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77.

 

Pesawat yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy pada 4.10 pagi (4.10 petang waktu Malaysia).

 

Beliau akan menyertai pemimpin dunia dari lebih 150 negara yang mula tiba di bandar raya ini pada Selasa, setelah pandemik COVID-19 membuatkan mereka terpaksa berucap secara maya pada perhimpunan tahunan itu sejak dua tahun lepas.

 

Menyambut ketibaan Ismail Sabri di lapangan terbang ialah Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.

 

Perdana Menteri akan menyampaikan Kenyataan Negara semasa sesi Debat Umum pada Jumaat dalam bahasa Melayu, iaitu inisiatif beliau sendiri untuk mempromosikan bahasa Melayu di pentas antarabangsa seperti PBB.

 

Ini adalah penampilan kedua Perdana Menteri di PBB, selepas menghadiri sesi ke-76 tahun lepas secara maya berikutan pandemik COVID-19, Bernama melaporkan.

 

Pada Selasa, Saifuddin memberitahu media Malaysia bahawa Ismail Sabri dijangka berkongsi dalam ucapannya, beberapa pengalaman Malaysia dalam menangani pandemik dan cabaran global serta mengetengahkan beberapa penyelesaian kepada konflik global seperti situasi di Ukraine, Palestin dan Myanmar.

 

 

pm

 

 

Beliau berkata tema sesi ke-77 itu, ‘Detik Peralihan: Penyelesaian Transformatif kepada Cabaran Bersaling Kait’, adalah tepat pada masanya dan membolehkan negara anggota memanfaatkan platform pelbagai hala itu untuk menangani isu yang dihadapi dunia.

 

“Perdana Menteri juga akan menekankan  kepentingan konsep kewujudan bersama secara aman dalam menyelesaikan pertikaian secara aman damai bagi mewujudkan sebuah keluarga negara,” katanya.

 

Pada acara luar UNGA, Perdana Menteri dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala bermula dengan pertemuan dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif pada Khamis.

 

Ismail Sabri dijadual bertemu Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pada Jumaat dan kedua-dua pemimpin akan menyaksikan majlis menandatangani empat memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dengan Palestin, iaitu mengenai Penubuhan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama, Kerjasama dalam Bidang Kesihatan, Pelancongan dan Hal Ehwal Islam.

 

Juga pada hari yang sama, Ismail Sabri akan bertemu rakan sejawatannya dari Belanda, Mark Ruttel manakala dengan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pada Sabtu.

 

Semasa berada di bandar raya ini, Perdana Menteri juga akan menjadi hos majlis makan malam ‘Keluarga Malaysia’ untuk diaspora Malaysia di negara ini. - DagangNews.com