PM umum bantuan khas kewangan RM700 kepada penjawat awam, RM350 bagi pesara mulai Januari 2023 | DagangNews Skip to main content

PM umum bantuan khas kewangan RM700 kepada penjawat awam, RM350 bagi pesara mulai Januari 2023

Gambar BERNAMA
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 30 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM700 kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah dan RM350 bagi pesara kerajaan serta veteran tidak berpencen.

 

Ismail Sabri berkata, pembayaran BKK tersebut akan dibuat bermula Januari 2023.

 

"Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam yang sentiasa memastikan jentera kerajaan bergerak dengan berkesan, melaksanakan dasar dan menjayakan setiap aspirasi kerajaan. Saya menyeru penjawat awam yang bersama saya pada hari ini, sama ada di dalam dewan mahu pun di luar, atau dalam talian untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada Keluarga Malaysia. 

 

"InsyaAllah, sekiranya produktiviti dapat ditingkatkan, ekonomi negara akan bertambah kukuh dan kerajaan akan lebih berupaya meningkatkan kemudahan kepada Keluarga Malaysia seluruhnya, dan yang pasti penjawat awam tidak akan dilupakan kerana saya yakin bahawa ‘Penjawat Awam adalah Tonggak Aspirasi Keluarga Malaysia', katanya.

 

Beliau mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 (MAPPA XVIII) di sini, hari ini.

 

Perdana Menteri turut mengumumkan penambahbaikan pemberian pergerakan gaji tahunan kepada pegawai yang telah mencapai gaji maksimum. 

 

"Kerajaan telah bersetuju menambahbaik Kadar Tetap 3% semasa yang diterima oleh pegawai yang mencapai gaji maksimum kepada suatu kadar baharu dan diseragamkan mengikut gred bagi semua klasifikasi perkhidmatan berkuat kuasa 1 Januari 2022. Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengeluarkan Pekeliling berkaitan bagi penjelasan terperinci bagi perkara ini," katanya.  

 

 

pm
Para penjawat awam bersorak dan menunjukkan semangat ketika mendengar amanat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 (MAPPA XVIII) di Putrajaya pada 30 Ogos 2022. - Gambar PMO

 

 

Dalam pada itu, beliau berkata, Inisiatif Projek Meningkatkan Norma Baharu Penyampaian Perkhidmatan Awam (NBPPA) berupaya mempercepat dan mempermudahkan Keluarga Malaysia serta komuniti perniagaan berurusan dengan agensi kerajaan secara digital. 

 

Beliau berkata, inisiatif itu perlu diperluas dan disambut oleh agensi-agensi kerajaan lain, supaya perkhidmatan end-to-end (E2E) kerajaan dapat mencapai 100% berbanding sasaran asal 80% menjelang tahun 2025. 

 

 

pm

 

 

"Bagi merealisasikannya, perubahan dasar, perundangan dan prosedur standard bagi menyokong penggunaan teknologi baharu seperti automasi proses robotik (RPA) dan kepintaran buatan (AI) perlu diintegrasikan dengan sistem sedia ada. 

 

"Justeru, saya menyarankan agar satu piawaian pendigitalan penyampaian perkhidmatan yang seragam diwujud dan dilaksanakan merentasi pelbagai kementerian dan agensi," katanya.

 

Beliau berkata, pemerkasaan budaya 'intrapreneurship' dalam organisasi awam amat penting, bagi memastikan para penjawat awam kekal relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan. 

 

 

pm

 

 

Menurutnya, budaya ini menerapkan kepada setiap anggota perkhidmatan awam supaya berfikir merekalah yang menjalankan perniagaan atau usahawan, untuk sentiasa proaktif, efektif dan efisien untuk memudahcara serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada semua pemegang taruh. 

 

"Tindakan perlu cepat, tepat dan berkesan serta memenuhi ekspektasi yang diharapkan oleh rakyat dan sesiapa sahaja yang menerima perkhidmatan kita. Penjawat awam juga perlu memiliki keupayaan Kepintaran Kontekstual (Contextual Intelligence) bagi mengaplikasikan pengetahuan dan kompetensi yang dimiliki serta menghasilkan penyelesaian di luar rutin kebiasaan. 

 

"Keupayaan Kepintaran Teknologi (Technology Quotient) perlu dipertingkatkan, dengan mengaplikasi serta memaksimumkan penggunaan teknologi sedia ada bagi menghasilkan nilai tambah dalam penyampaian perkhidmatan.

 

 

pm

 

 

"Contoh kejayaan perkhidmatan digital yang terbaik adalah penggunaan aplikasi MySejahtera ketika penularan COVID-19 yang meletakkan negara kita sebagai negara Asia Tenggara pertama menggunakan aplikasi digital dalam mengurus tadbir pandemik, sehingga menempatkan kita pada kelompok tertinggi, iaitu ke 47 daripada 193 buah negara dalam Indeks Pembangunan Kerajaan Elektronik (EGDI). 

 

"Kita sedar, dalam era Revolusi Industri 4.0, keperluan perkhidmatan melalui medium digital amat kritikal dan inisiatif Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital), telah menyaksikan pelaksanaan perkhidmatan Kerajaan secara E2E telah melepasi tahap 68%," katanya.

 

Tambahnya, inisiatif pendigitalan E2E antaranya MyOnline Pasport bagi pembaharuan pasport, Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) bagi permohonan penggajian pekerja asing dan i-Citra bagi permohonan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), telah memberikan banyak manfaat kepada Keluarga Malaysia. - DagangNews.com