SHAH ALAM 19 Dis - Sejak malam tadi dan sehinggalah pagi ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak henti-henti meninjau operasi menyelamat di sekitar Selangor dan menziarahi mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Selepas meninjau mangsa banjir di Kampung Lanchung, Putra Heights lewat malam tadi, Perdana Menteri menyatakan beliau sangat risau dengan keadaan mangsa-mangsa banjir yang terkesan dengan musibah ini.
''Serta-merta, saya telah arahkan semua kementerian berkaitan melipatgandakan lagi usaha dalam membantu operasi banjir khususnya di kawasan yang terjejas teruk.
''Pagi ini, saya sendiri turun padang meninjau PPS SK Johan Setia, PPS SK Telok Gong dan Masjid Al Islah Kampung Nelayan Telok Gong, Klang bagi memastikan keadaan mangsa selamat dan segala keperluan asas mencukupi sepanjang ditempatkan di pusat pemindahan sementara.
''Saya juga telah meminta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat dan Negeri, serta agensi terlibat sentiasa memastikan segala kebajikan mangsa diberi perhatian.
''Saya berdoa semoga Keluarga Malaysia yang terkesan sentiasa tabah menghadapi musibah ini dan kerajaan akan terus bersama rakyat,'' kata Perdana Menteri dalam hantaran menerusi Facebook rasmi beliau hari ini. - DagangNews.com