PMB Investment lantik Datuk Mohd Idzwan sebagai pengerusi mulai 2 September 2024 | DagangNews Skip to main content

PMB Investment lantik Datuk Mohd Idzwan sebagai pengerusi mulai 2 September 2024

Datuk Mohd Idzwan Izuddin Datuk Ab Rahman
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Sept - Syarikat Pengurusan Dana Islam di bawah Pelaburan MARA Berhad, PMB Investment melantik Datuk Mohd Idzwan Izuddin Datuk Ab Rahman sebagai pengerusi baharunya.

 

Menurut satu kenyataan, Mohd Idzwan telah menerima surat pelantikan daripada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 2 September lepas.

 

“Di dalam surat itu, Mohd Idzwan dimaklumkan akan memegang jawatan sebagai pengerusi PMB Investment Berhad selama dua tahun.

 

“Pelantikan ini juga memberi penambahan yang signifikan kepada pasukan kepimpinan syarikat, meningkatkan keupayaan strategik dalam sektor kewangan Islam,” katanya dalam kenyataan itu.

 

Datuk Mohd Idzwan Izuddin
                                            Datuk Mohd Idzwan Izuddin

 

 

Beliau mempunyai sejarah kerjaya yang pelbagai dan membawa pelbagai pengalaman insdustri kewangan. 

 

Beliau memulakan kerjaya dalam industri kewangan dengan CIMB Bank Berhad sebagai Naib Presiden Wilayah serta memainkan peranan penting dalam pelbagai projek berprofil tinggi di seluruh rantau ini.

 

“Selain itu, Mohd Idzwan pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Pemasaran di Malaysia Building Society Bank (MBSB) dan kemudian menyertai McKinsey & Co sebagai Perunding Perniagaan dan Ketua Pembangunan Produk & Perniagaan.

 

“Beliau kini memegang jawatan Pengarah Eksekutif Bintai Kinden Corporation Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif serta Pengarah CDMH Capital Sdn Bhd selain Pengarah di Invesco Capital Management Berhad,” ujarnya.

 

Mohd Idzwan juga merupakan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di SM Track Berhad, sebuah syarikat tersenarai awam yang diketuai oleh Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.- DagangNews.com