KUALA LUMPUR 16 Mac - Anak syarikat milik penuh Pelaburan MARA Bhd, PMB Investment Bhd memenangi Best Malaysia Large-Cap Equity (Shariah) Fund di Anugerah Dana Morningstar Malaysia 2023 untuk dana di bawah pengurusannya, PMB Shariah Tactical Fund (PMB STF).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA, Mahdzir Othman berkata, ia merupakan pengiktirafan berasaskan merit kepada pengurus dana dan syarikat mereka.
"Anugerah ini telah menjadi sumber inspirasi, semangat dan motivasi kepada kakitangan Kumpulan Pelaburan MARA dan PMB Investment khasnya, untuk terus komited dalam memberikan pulangan konsisten kepada pelabur kami melalui pengurusan dana yang baik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Mahani Ibrahim berkata, prestasi cemerlang dana-dana unit amanah di bawah pengurusan PMB Investment termasuk PMB Shariah Tactical Fund membuktikan bahawa pihaknya berjaya mengharungi ketidaktentuan pasaran pada 2022, dan terus memberikan nilai kepada pelabur.
Katanya, setiap masa adalah waktu terbaik untuk melabur dengan PMB Investment.
“Antara strategi yang digunakan termasuk peruntukan aset taktikal jangka panjang, ditambah dengan fleksibiliti untuk mengimbangi semula peruntukan antara kelas aset berbeza bagi ekuiti patuh syariah dan sekuriti berkaitan ekuiti.
"Strategi ini berfungsi terutamanya semasa ketidaktentuan pasaran, dan pada masa sama memberikan petunjuk berharga dalam mengendali dan mengatasi ketidakstabilan pasaran jangka pendek," katanya.
Dalam pada itu, Mahdzir berkata, 2023 dijangka menjadi tahun yang paling mencabar di tengah-tengah kemelesetan di seluruh dunia.
"Kami berharap Belanjawan 2023 dapat memperlihatkan pertumbuhan dalam projek-projek infrastruktur yang lebih baik di seluruh negara serta keputusan lebih tegas oleh kerajaan mengenai dasar-dasar kerana ini diperlukan untuk meningkatkan keyakinan pelabur, terutama pelabur asing ke pasaran tempatan," katanya.
PMB Shariah Tactical Fund menawarkan para pelabur peluang untuk mencapai pertumbuhan modal jangka sederhana hingga panjang dengan melabur dalam mana-mana 50 saham patuh syariah terbesar daripada segi permodalan pasaran yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Untuk rekod, PMB Shariah Tactical Fund mencatatkan pulangan 27% untuk tempoh lima tahun yang berakhir pada 28 Februari 2023.
Manakala, pulangan bagi tiga tahun pula adalah 46% untuk tempoh tiga tahun dan pulangan bagi satu tahun pula hanya 10%, masing-masing berakhir pada 28 Februari 2023. - DagangNews.com