KUALA LUMPUR 3 Mei - Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia IHS Markit naik kepada 53.9 pada April berbanding 49.9 pada Mac, mencerminkan pertumbuhan kukuh dalam sektor pembuatan.
PMI merupakan petunjuk tunggal komposit bagi prestasi sektor pembuatan.
Ketua Ekonomi Perniagaan IHS Markit, Chris Williamson berkata, pengembangan itu adalah prestasi paling kukuh direkodkan sejak kajian itu bermula pada Julai 2012.
Katanya, melihat kepada hubungan antara PMI dan data rasmi statistik, bacaan terbaharu itu menunjukkan kenaikan kukuh bagi pengeluaran perindustrian dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), memandangkan kajian itu menunjukkan pemulihan yang stabil daripada impak pandemik.
Data April, jelas beliau, menunjukkan pengeluaran berkembang kali pertama dalam tempoh 9 bulan dengan kadar pertumbuhan paling kukuh sejak Jun 2020.
"Permintaan yang kembali meningkat terutama eksport, apabila sekatan dilonggarkan membantu merangsang pertumbuhan dalam pengeluaran Malaysia.
"Dalam masa sama, meningkatnya harapan terhadap pelancaran vaksin secara tidak langsung menyuntik keyakinan kepada sentimen perniagaan untuk tahun akan datang kepada satu daripada paras tertingginya sejak 2013," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurut Williamson, kekangan dari sudut penawaran semakin meningkat, namun, bertindak sebagai halangan kepada pertumbuhan dan boleh mengekang pemulihan.
Timbunan kerja terkumpul pada kadar yang tidak pernah dilihat selama empat tahun berikutan syarikat berusaha keras untuk menghasilkan pengeluaran yang mencukupi untuk memenuhi permintaan.
"Bukan sahaja syarikat sukar melaporkan kesukaran mencari jumlah kakitangan mencukupi bagi meningkatkan pengeluaran, tetapi, kelewatan penghantaran input juga bertambah buruk.
"Dengan pengecualian April dan Mei tahun lalu, ketika penutupan kilang secara besar-besaran akibat gelombang pertama pandemik, pemanjangan rantaian bekalan yang terkini ini adalah paling lama dalam sejarah kajian selama 9 tahun," katanya.
Mengulas dari segi harga, menurutnya, kos input meningkat bagi bulan ke-11 berturut-turut pada April, mencerminkan peningkatan harga bahan mentah dan logistik yang lebih tinggi.
Katanya, kadar harga input inflasi terus meningkat dengan cepat dalam hanya 4 tahun dan pantas secara keseluruhannya.
"Sebahagian pengeluar melepaskan kos yang tinggi kepada pelanggan menerusi caj output lebih tinggi, yang mana meningkat lebih pantas dan memanjangkan senario inflasi semasa kepada 11 bulan," tambahnya. - DagangNews.com