Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Dis. - Pertumbuhan ekonomi negara dijangka tumbuh sederhana antara 3 hingga 3.8% pada suku keempat apabila data ekonomi masih belum menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang positif.
Menurut AmBank Research, indeks pengurus pembelian (PMI) pembuatan menyusut bulan keempat berturut-turut pada November, 48.4 mata, lebih rendah berbanding Oktober, 48.5 mata.
Malah, katanya, prestasi ini agak berbeza dengan negara ASEAN yang lain apabila berkembang sehingga 50 paras ambang (yang memisahkan antara pengembangan daripada menguncup) sejak Mac.
"Data PMI pembuatan yang lemah pada November bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan jangkitan COVID-19 semakin meningkat sama ada di dalam mahupun luar negara.
"Ini mendorong kepada pelaksanaan sekali lagi langkah sekatan bagi membendenung wabak ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Semalam, IHS Markit dalam laporan Indeks Pengurus Belian (PMI) terkini berkata, pemulihan dalam sektor pembuatan Malaysia kehilangan momentum di pertengahan suku keempat tahun ini.
Bacaan itu menunjukkan sektor berkenaan terus berkembang sederhana walaupun trend berkenaan kelihatan tidak berubah, manakala kemerosotan dianggap kurang ketara berbanding yang disaksikan semasa gelombang pertama COVID-19.
Dalam laporan itu, Ketua Ahli Ekonomi Perniagaan IHS Markit, Chris Williamson berkata, sektor pembuatan masih terus berdepan kesukaran yang disebabkan oleh COVID-19, dengan sekatan pergerakan baharu mengganggu aktiviti domestik.
Perintah berkurung di negara lain pula menyaksikan pertumbuhan eksport yang terhad, selain menyebabkan lanjutan kelewatan dalam penghantaran bekalan.
AmBank Research berkata, jika melihat kepada data PMI pembuatan dalam tempoh 2 bulan lalu, ia tidak menunjukkan penguncupan yang tinggi seperti mana pada April, jatuh 35.6 mata disebabkan penguatkuasaan perintah sekatan.
"Ini sebahagiannya mungkin disebabkan oleh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang lebih bersasar, dengan implikasi yang kurang baik terhadap penawaran dan permintaan," katanya.
Berdasarkan data PMI bagi tempoh 2 bulan terawal, firma itu menjangkakan pertumbuhan ekonomi suku keempat boleh hilang sedikit momentum. - DagangNews.com