Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Julai - Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia IHS Markit yang menjadi pengukur kepada prestasi sektor berkenaan merudum kepada 39.9 pada Jun 2021 susulan penguatkuasaan sekatan pergerakan yang lebih ketat pada tempoh tersebut.
Dalam satu kenyataan, IHS Markit menjelaskan bahawa indeks itu menjunam daripada bacaan 51.3 yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Bacaan melebihi 50 menunjukkan peningkatan keseluruhan berbanding bulan sebelumnya, dan di bawah 50 pula menggambarkan penurunan keseluruhan.
Ketua Ahli Ekonomi Perniagaan di IHS Markit, Chris Williamson berkata, pengilang Malaysia mencatatkan penurunan baharu pada Jun kerana lonjakan jangkitan COVID-19 baru-baru ini dan langkah-langkah pengekangan yang berkaitan sekali lagi mengurangkan permintaan, pengeluaran yang terhenti dan rantaian bekalan yang terganggu.
“Dari perspektif positif, tinjauan menunjukkan tanda-tanda tekanan inflasi mereda dengan ketara, dan syarikat-syarikat sebahagian besarnya mengekalkan staf untuk memastikan kapasiti pengeluaran terjaga.
“Namun, ini membimbangkan apabila jangkaan output pada masa hadapan merosot, jatuh ke tahap terendah sejak tinjauan itu dimulakan hampir sepuluh tahun yang lalu, memandangkan syarikat semakin risau terhadap impak gelombang virus yang selanjutnya.
“Sekiranya keyakinan rendah itu berterusan, syarikat mungkin tidak mampu mengekalkan kakitangan, dan sebaliknya menumpukan lagi ke arah pengurangan kos,” jelas beliau.
Menurut IHS Markit, kebanyakan perniagaan dalam sektor berkenaan mendakwa bahawa ‘lockdown’ telah mengganggu permintaan pelanggan.
Pemain industri mula melihat prospek sektor pembuatan semakin suram pada tahun hadapan, buat pertama kalinya dalam empat tinjauan yang dilakukan ke atas mereka sejak Mac 2020.
Kedua-dua jumlah pengeluaran dan pesanan baharu pula lemah pada Jun 2021 dan kadar kemerosotan itu adalah yang paling ketara sejak paras terendah dicatatkan pada April lalu.
“Syarikat biasanya mengaitkan kelemahan tersebut dengan langkah pembendungan virus yang lebih ketat yang menjejaskan permintaan di pasaran domestik dan luar negara.
“Permintaan asing untuk barang-barang pembuatan Malaysia menjadi lemah, walaupun kadar penurunan penjualan eksport tidak ketara daripada yang dilihat pada jumlah pesanan baharu,” tambah IHS Markit.
Walaupun terdapat pengurangan permintaan, namun harga input meningkat untuk bulan yang ke-13 pada Jun 2021.
Tambahan lagi, tahap sentimen dalam kalangan pengilang adalah yang terendah pernah dicatatkan memandangkan mereka bimbang terhadap jangka waktu penguatkuasaan sekatan pergerakan semasa dan sejauh mana penularan ini akan menjejaskan permintaan serta bekalan mereka pada masa hadapan. - DagangNews.com