PMINT, Xinda Development meterai MoU pajakan tanah dengan nilai pelaburan RM2.5 bilion di Terengganu | DagangNews Skip to main content

PMINT, Xinda Development meterai MoU pajakan tanah dengan nilai pelaburan RM2.5 bilion di Terengganu

Majlis memeterai MoU antara PMINT dan Xinda Development disaksikan oleh Tengku Hassan (tengah) di Kuala Terengganu pada 14 Mac 2023. - Gambar DagangNews
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 15 Mac - Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Xinda Development Sdn. Bhd bagi pajakan tanah untuk membangunkan zon perindustrian baharu di Kemaman dengan nilai keseluruhan pelaburan sebanyak RM2.5 bilion.

 

Melalui MoU tersebut, kerajaan negeri membenarkan pajakan tanah selama 60 tahun untuk Xinda Development membangunkan kawasan perindustrian baharu yang berasaskan produk seramik kuartz dan perlombongan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman berkata, apabila pembangunan itu siap kelak, ia adalah kawasan perindustrian yang ke-27 di Terengganu setakat ini yang akan dikenali sebagai kawasan perindustrian Cheneh Baharu (Tambahan).

 

"Fasa pertama melibatkan pajakan tanah seluas 70.485 ekar itu nanti adalah bagi pembangunan kilang 'finished product factory', semi finished factory' dan ruang pejabat.

 

"Anggaran pelaburan bagi fasa satu bernilai RM600 juta yang akan memberi sebanyak 1,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu dalam tempoh lima tahun," katanya kepada pemberita selepas menandatangani MoU itu di PB Hotel di sini pada Selasa.


 

Wan Adnan Wan Derahman
                          Wan Adnan Wan Derahman

 


Pada majlis itu juga, Permint Granite Sdn Bhd (Permint Granite) yang merupakan anak syarikat PMINT turut memeterai MoU bersama MyMineral Sdn Bhd. untuk membangunkan kuari kuartz juga di Cheneh, Kemaman. 

 

Sementara, Xinda Development pula menandatangani Surat Hasrat (LOI) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan melibatkan perdagangan, pelaburan serta  teknologi nano.

 

Kedua-dua MoU itu disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah & Kesejahteraan Pentadbiran Negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar.

 

Tambah Wan Adnan lagi, bahan mentah daripada kuari itu akan dibekalkan kepada pengilang di kawasan perindustrian tersebut.

 

"Perancangan pembangunan pihak Xinda Development bagi keseluruhan fasa akan melibatkan nilai pelaburan berjumlah RM2.5 bilion dengan mewujudkan sehingga 3,800 peluang pekerjaan.

 

"Ia merangkumi perancangan pembangunan kilang finished product factory' dan 'Cheneh High Tech Park' pada masa hadapan yang sekaligus mampu meningkatkan pembangunan kepada kawasan sekitar, " katanya.

 

Setakat ini, beliau berkata PMINT selaku agensi pelaburan di Terengganu telah menerima 60 permohonan dari syarikat luar dan dalam negara yang berminat untuk melabur di negeri itu.

 

"Namun, kita sedang meneliti setiap permohonan agar sesuai dengan kemudahan dan infrastruktur yang disediakan di setiap kawasan perindustrian Terengganu," katanya. - DagangNews.com