PNB peroleh RM1.26 bilion pembiayaan mampan Islam daripada OCBC untuk membaik pulih menara pejabat di London | DagangNews Skip to main content

PNB peroleh RM1.26 bilion pembiayaan mampan Islam daripada OCBC untuk membaik pulih menara pejabat di London

Menara One Exchange Square, 175 Bishopsgate, London
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 5 Jun - Permodalan Nasional Bhd telah memperoleh kemudahan pembiayaan mampan Islam bernilai RM1.26 bilion (£210 juta) daripada OCBC Bank (Malaysia) Bhd untuk membaik pulih menara pejabat di London kepada standard pensijilan hijau tertinggi.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, OCBC Malaysia berkata ia adalah pengatur utama tunggal dan penasihat kemampanan bagi kemudahan hijau itu untuk membiayai pengubahsuaian One Exchange Square, 175 Bishopsgate, London.

 

Bank itu berkata menara pejabat itu direka bentuk untuk mencapai penarafan "Cemerlang" di bawah Kaedah Penilaian Alam Sekitar Penubuhan Penyelidikan Bangunan (BREEAM) dengan sasaran Penarafan 5 Bintang NABERS UK selepas siap, menandakan komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) PNB ke arah melabur ke dalam aset hijau dan peralihan.

 

Setelah selesai pengubahsuaian pada 2026, hartanah itu dijangka mencapai pelepasan karbon bersih-sifar dalam operasinya melalui gabungan kecekapan tenaga, elektrifikasi dan penjanaan tenaga di tapak.

 

Ketua Pegawai Pelaburan PNB, Pelaburan Swasta & Strategik, Rick Ramli berkata, PNB telah mewujudkan 10 komitmen ESG dalam Rangka Kerja Kelestarian kami yang dilancarkan pada 2022, termasuk melabur sehingga RM10.0 bilion modal baharu ke dalam aset hijau dan peralihan menjelang 2030.

 

 

rick ramli
                         RICK RAMLI

 

 

"Sebagai syarikat pengurusan dana berkaitan kerajaan, adalah penting bagi kami untuk memasukkan pertimbangan ESG ke dalam keputusan pelaburan kami untuk menambah usaha kami dalam mengenal pasti peluang untuk penciptaan nilai dan mengurus risiko ESG," kata beliau.

 

"Kami komited dalam memastikan peralihan yang progresif ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan untuk daya tahan jangka panjang, di tengah-tengah landskap pelaburan global yang berubah. Pengubahsuaian hartanah itu adalah satu bahagian penting dalam usaha kami ke arah melabur dalam aset hijau dan peralihan," tambahnya .

 

Rick berkata PNB telah memutuskan untuk mendermakan bahan terpilih yang dialih keluar semasa fasa perobohan harta itu, seperti keluli dan kemasan dalaman, kepada organisasi amal tempatan di London yang mengendalikan kemudahan unik yang menyediakan aktiviti luar yang inovatif dan peluang pembelajaran untuk kanak-kanak, termasuk komuniti kurang upaya.

 

Bahan sumbangan daripada One Exchange Square akan digunakan untuk memudahkan pembinaan bilik darjah taska baharu di sekolah rendah sedia ada.

 

Sementara itu Pengarah Urusan, Jurubank Kanan dan Ketua Perbankan Pelaburan OCBC Bank (Malaysia) Bhd, Tan Ai Chin berkata, kumpulan OCBC ialah pemberi pinjaman sedia ada yang menyokong PNB dalam pengambilalihan hartanah ini.

 

 

tan ai chin
                           TAN AI CHIN

 

 

"Dan kami gembira untuk terus menyokong usaha proaktif PNB untuk membaik pulih dan menaik taraf hartanah bagi memenuhi standard pensijilan hijau tertinggi selepas siap," 

 

"Sebagai tambahan kepada struktur patuh syariah, yang melengkapkan elemen hijau kemudahan itu, usaha terpuji PNB dalam melakukan kebaikan untuk menyokong masyarakat setempat sebagai sebahagian daripada pembangunan projek benar-benar menunjukkan komitmen kuatnya terhadap amalan ESG terbaik.

 

"Kerjasama dengan PNB ini mencontohi usaha tanpa henti OCBC Malaysia dalam memajukan lagi penggunaan amalan terbaik yang mampan dan bertanggungjawab dalam kalangan rakan kongsi perniagaan kami untuk mewujudkan kesan sosial, alam sekitar dan ekonomi yang positif kepada masyarakat di samping memastikan masa depan yang lebih mampan," kata Tan. - DagangNews.com