Pos Malaysia catat kerugian suku pertama lebih kecil, RM46 juta | DagangNews Skip to main content

Pos Malaysia catat kerugian suku pertama lebih kecil, RM46 juta

Gambar www.pos.com.my

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Mei - Pos Malaysia Berhad mencatatkan kerugian bersih yang lebih kecil pada suku pertama tahun kewangan 2021 (1QFY21) yang berakhir 31 Mac 2021, berjumlah RM45.69 juta. 

 

Nilai kerugian itu menyusut daripada RM46.23 juta yang dicatatkan pada tempoh sama bagi FY20, menurut laporan kewangan kumpulan di Bursa Malaysia. 

 

Dalam masa sama, laporan itu turut menunjukkan pendapatan kumpulan melonjak kepada RM595.28 juta bagi suku semasa daripada RM558.53 yang dicatatkan pada tahun lalu. 

 

“Ini terutamanya dipacu oleh pendapatan yang lebih tinggi dan hasil positif daripada syarikat bersekutu.

 

“Kumpulan mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM46.1 juta bagi suku semasa berakhir 31 Mac 2021 berbanding RM231.7 juta pada suku tahun berakhir 31 Disember 2020, terutamanya didorong oleh keterangkuman kemerosotan nilai muhibah dalam segmen logistik dan penerbangan sebanyak RM123.3 juta, peruntukan untuk skim pemisahan bersama sebanyak RM41.6 juta dan rosot nilai hartanah, kilang dan kelengkapan sebanyak RM16.2 juta,” jelas Pos Malaysia.

 

Tiada sebarang dividen diisytiharkan bagi suku tahun semasa. 

 

Mengulas mengenai prospek, Pos Malaysia berkata, peningkatan kes COVID-19 dan sekatan pergerakan seluruh negara telah menjejaskan prestasinya bagi suku pertama tahun ini. 

 

Tambah kumpulan itu, segmen penghantarannya menerima impak daripada penutupan sementara di pusat utama pada penghujung 2020, namun berjaya ‘bangkit semula’ apabila mencatatkan peningkatan 9% dari segi jumlah bungkusan yang dihantar. 

 

“Pos Malaysia akan terus berhati-hati terhadap peningkatan kes COVID-19 di Malaysia dan akan memastikan langkah diambil dapat mengelak dan mengurangkan penularan jangkitan dalam kalangan tenaga kerja selain pusat bertemu pelanggan. 

 

“Kes COVID-19 harian yang kian meningkat dengan varian lebih kuat akan terus mendatangkan cabaran buat usaha pemulihan ekonomi negara. 

 

“Oleh itu, syarikat akan terus berhati-hati terhadap prestasi operasi yang mencabar bagi tahun kewangan semasa berakhir 31 Disember 2021, di samping terus mengambil langkah bersesuaian untuk memastikan prospek jangka pendek ini kekal stabil,” tambah kumpulan itu. - DagangNews.com