Pos Malaysia tamatkan kontrak ejen Pos Rider di Lembah Klang, sebahagian Rasionalisasi Fasa 2 | DagangNews Skip to main content

Pos Malaysia tamatkan kontrak ejen Pos Rider di Lembah Klang, sebahagian Rasionalisasi Fasa 2

KUALA LUMPUR 12 Ogos – Pos Malaysia akan menjalankan Fasa 2 pelaksanaan rasionalisasi program khidmat luaran (outsourcing) Pos Rider, yang akan berkuatkuasa pada 1 September 2021. Proses rasionalisasi di bawah Fasa 2 akan melibatkan 262 ejen Pos Rider di Lembah Klang.

 

Menurut Pos Malaysia, program Pos Rider telah diperkenalkan pada tahun 2019 dan berjaya membantu Pos Malaysia menyampaikan lebih banyak bungkusan di seluruh Malaysia.

 

"Namun, pasaran pos dan kurier domestik telah melalui perubahan di mana jumlah mel terus menurun dengan begitu ketara, manakala para pemain e-dagang pula telah mula menawarkan khidmat penghantaran.

 

"Operasi kami telah dikaji semula dan mendorong kepada keputusan untuk menghentikan skim Pos Rider secara berperingkat," kata Pos Malaysia dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Bagaimanapun kata syarikat itu lagi, bagi menghargai perkhidmatan bekas-bekas pekerja Pos Rider, Pos Malaysia akan memberi keutamaan kepada ejen-ejen ini untuk khidmat sambilan sekiranya ada peningkatan terhadap permintaan penghantaran bungkusan.

 

"Ini dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak apabila bekas Pos Rider dapat menjana pendapatan tambahan, manakala Pos Malaysia dapat mengekalkan kecekapan kos.

 

"Peningkatan permintaan sepanjang tahun biasanya berlaku semasa jualan sempena perayaan dan jualan tarikh khas anjuran pelbagai peniaga," kata Pos Malaysia.

 

Pos Malaysia berkata, pihaknya akan terus meneliti strategi perniagaan, kos dan sumber apabila perlu bagi memastikan daya maju dan kemampanan perniagaan.

 

"Ini adalah penting sepanjang pandemik ini, oleh kerana kesan daripada pergerakan yang terhad dan operasi yang terbatas dihadapi oleh kesemua segmen perniagaan". - DagangNews.com