Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Nov. - Potensi peralihan kerajaan ke dalam tangan parti Demokrat di Amerika Syarikat (AS) yang diketuai Joe Biden memberi sentimen pemangkin kepada para pelabur sehingga melonjak saham Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini.
Setakat 9 pagi, KLCI meningkat 3.90 mata atau 0.27%, mencecah 1,468.51 daripada paras yang ditutup semalam, 1,464.61.
Dalam masa sama, penantian pembentangan Bajet 2021 pada hari esok turut mempengaruhi pergerakan pasaran saham Malaysia.
Rakuten Trade Research berkata, bursa tempatan dipengaruhi rapat oleh Wall Street.
“Wall Street menyaksikan perubahan harga yang ketara semalam menjelang keputusan pilihan raya Presiden AS yang mungkin melibatkan Makamah Agung negara itu memandangkan Donald Trump menghampiri kekalahan.
“DJI Average sempat menyentuh paras 28,300 sebelum ditutup pada 27,800 atau 370 mata lebih tinggi.
“Oleh itu, kami menjangkakan ketidaktentuan dalam pasaran serantau hari ini. Bagi bursa tempatan yang dipengaruhi besar oleh Wall Street, kami menjangkakan KLCI mungkin menguji paras 1,470 hari ini untuk keluar daripada dagangan julat harga atau paras yang terhad (consolidation),” kata Rakuten Trade dalam nota kajian pasarannya.
Menurut Reuters, para pelabur ‘bersorak’ memandangkan Biden berpotensi memenangi pilihan raya Presiden itu.
Pemerintahan di bawah parti Demokrat dijangka melaksanakan peraturan kewangan yang lebih longgar.
Semua lonjakan dalam pasaran Asia mengikuti trend dagangan semalaman di Wall Street, di mana pasaran kewangan mengetepikan ketidaktentuan dalam keputusan pilihan raya Presiden antara Trump dan Biden.
Niaga hadapan E-Mini untuk S&P 500 melonjak 0.27% dengan saham Jepun meningkat 0.3%.
Saham Australia pula melonjak 0.5%, manakala indeks saham MSCI di Asia Pasifik selain Jepun meningkat 0.3% pada awal dagangan.
“Pasaran saham nampaknya didagangkan berdasarkan harapan kemenangan Biden yang lebih longgar dari segi pelaksanaan kewangan termasuk cukai, peraturan dan pakej rangsangan yang besar,” kata nota kajian ANZ Bank. - DagangNews.com