Potensi perniagaan dalam pelbagai segmen, RHB Investment positif terhadap pertumbuhan Panda Eco System | DagangNews Skip to main content

Potensi perniagaan dalam pelbagai segmen, RHB Investment positif terhadap pertumbuhan Panda Eco System

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Nov - RHB Investment menjangkakan Panda Eco System Berhad memiliki potensi bagi mencatatkan pertumbuhan positif pada masa hadapan.

 

Katanya, ia didorong oleh potensi kepelbagaian perniagaan dalam segmen lain seperti makanan dan minuman (F&B) dan segmen runcit yang lebih kecil yang memerlukan bantuan perisian untuk menyokong usaha pendigitalan mereka.

 

Penglibatan kumpulan itu dalam pelbagai saluran seperti rumusan xBridge B2B yang menawarkan kebolehcapaian dan mobiliti merentas platform dengan responsif berbilang peranti. 

 

"Kami melihat perkembangan pengurusan runcit berasaskan awan yang semakin positif.

 

"Saiz industri dilihat semakin berkembang, selepas mencatatkan perkembangan 55.3% pada 2022 daripada 40.4% pada 2018 (sebagai peratusan daripada jumlah pasaran penyelesaian pengurusan runcit)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Panda Eco System sasar kumpul RM17.5 juta daripada IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

Brdasarkan prospektus yang diterbitkan di Bursa Malaysia, penilaian itu memberikan penyedia rumusan pengurusan runcit permodalan pasaran sebanyak RM107.4 juta, berdasarkan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 671.19 juta saham selepas penyenaraiannya.

 

Daripada jumlah keseluruhan, sejumlah 33.56 juta atau 5% daripada modal saham yang diperbesarkan adalah bagi langganan orang ramai dengan separuh daripadanya adalah bagi pelabur awam biasa dan separuh lagi untuk pelabur awam Bumiputera.

 

Bagi bahagian selebihnya, 42.77 juta atau 6.4% daripada modal saham yang diperbesarkan dikhaskan untuk orang yang layak seperti pengarah atau pekerja, dan baki 32.95 juta saham akan dijual melalui penempatan persendirian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dengan kepakaran yang betul dalam kedua-dua operasi runcit dan perisian IT, ekosistem pengurusan runcit Panda Eco menikmati kelebihan daya saing yang positif.

 

Katanya, ia adalah berdasarkan keupayaannya dalam membangunkan perisian dalaman tanpa bergantung kepada pembekal pihak ketiga untuk peningkatan perisian dan penyepaduan modul baharu.

 

"Kumpulan itu menawarkan penyelesaian runcit yang disesuaikan dengan harga yang kompetitif untuk memenuhi keperluan dan keperluan peruncit yang semakin meningkat.

 

"Perisian pengurusan runcit juga serasi dan dapat disepadukan dengan perisian pihak ketiga dan perkakasan IT utama," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menetapkan harga wajar (FV) sebanyak 19 sen untuk sesaham bagi kumpulan itu. - DagangNews.com