Powerwell lantik Soh Wei Wei sebagai Pengarah Eksekutif Jualan & Pemasaran | DagangNews Skip to main content

Powerwell lantik Soh Wei Wei sebagai Pengarah Eksekutif Jualan & Pemasaran

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Julai - Pembekal dan pengeluar produk kuasa elektrik kepada pelbagai projek domestik dan antarabangsa, Powerwell Holdings Bhd melantik Soh Wei Wei sebagai Pengarah Eksekutif (Jualan & Pemasaran). 

 

Menurut Powerwell, Wei Wei mula berkhidmat denan Kumpulan itu pada tahun 2006 sebagai eksekutif pemasaran yang mana beliau berperanan menyelia pelaksanaan pelan pemasaran strategik, mengurus belanjawan pemasaran, memastikan kelancaran operasi jualan dan pemasaran projek.

 

Pada tahun 2012, beliau memegang jawatan Pengarah Jualan dan Pemasaran dan beliau tumpukan kepada perkembangan kehadiran pasaran Powerwell di Malaysia dan rantau Indochina.  

 

Pengarah Eksekutif Powerwell Holdings, Catherine Wong berkata, pengalaman luas Soh dan visi strategik beliau dalam jualan dan pemasaran memainkan peranan penting dalam memacu pengembangan pasaran kumpulan itu. 


 
"Pelantikan Soh mencerminkan komitmen kami mengukuhkan pasukan kepimpinan syarikat."

 

"Kami juga akan memberi tumpuan mencapai kecemerlangan dan inovasi dalam semua usaha kami," tambah beliau. 

 

Selain itu, kumpulan Powerwell baru-baru ini telah mencapai kemajuan yang ketara dalam sektor pusat data melalui projek-projek utamanya di Johor, Selangor dan Kuala Lumpur. 

 

Menurut kenyataan media, perkembangan itu kerana lokasi Malaysia yang strategik, sokongan kerajaan kukuh dan infrastruktur telekomunikasi canggih telah meletakkannya sebagai destinasi utama untuk pelaburan pusat data.

 

Sebagai Pengarah Eksekutif, Wei Wei terus menerajui inisiatif jualan dan pemasaran Powerwell dengan pendekatan strategik dan berfokuskan pelanggan. 

 

Kata Powerwell, kepakaran beliau dalam strategi pasaran, pengurusan perhubungan pelanggan, dan pembangunan perniagaan adalah penting dalam mencapai sasaran jualan kumpulan dan mengembangkan jejak globalnya.

 

Menurut Wei Wei, tumpuan beliau adalah untuk terus memacu inisiatif jualan dan pemasaran strategik, meningkatkan hubungan pelanggan, dan meneroka peluang pasaran baharu untuk mengukuhkan kedudukan Powerwell sebagai peneraju dalam industri penyelesaian elektrik. 

 

"Saya komited untuk bekerjasama rapat dengan pasukan berbakat kami untuk mencapai sasaran pertumbuhan bercita-cita tinggi kumpulan kami dan memberikan nilai yang luar biasa kepada pemegang kepentingan kami," ulasnya.- DagangNews.com