P.Pinang, Selangor diberi keutamaan vaksin bagi sektor pembuatan & perkilangan | DagangNews Skip to main content

P.Pinang, Selangor diberi keutamaan vaksin bagi sektor pembuatan & perkilangan

sektor pembuatan, perkilangan

KUALA LUMPUR 14 April - Pekerja dalam industri perkilangan dan pembuatan di Pulau Pinang dan Selangor mendapat keutamaan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kedua-dua negeri berkenaan adalah zon perindustrian dengan aktiviti ekonomi yang amat rancak.

 

"Kita ambil maklum Pulau Pinang dan Selangor antara negeri yang menyumbang kepada ekonomi negara sebab wujudnya industri dan aktiviti ekonomi yang rancak.

 

"Maka ini adalah zon-zon yang akan diberikan keutamaan untuk pekerja-pekerja dalam industri perkilangan dan pembuatan mendapatkan suntikan vaksin,” katanya seperti dilapor Bernama.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Mengedar Bubur Lambuk di Hulu Kelang semalam.

 

Perkara itu dinyatakan sebagai maklum balas kepada kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bahawa kerajaan negeri itu masih menunggu maklum balas daripada Kerajaan Pusat berhubung gesaan supaya pekerja sektor industri dan perkilangan yang dikategorikan sebagai barisan hadapan ekonomi dan diberi keutamaan menerima vaksin COVID-19.

 

Tambah beliau lagi, katanya kerajaan amat komited untuk memastikan proses Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dapat dilaksanakan seberapa segera termasuklah pemberian suntikan terhadap pekerja asing. 

 

“Sebabnya mereka ini memainkan peranan penting dalam memulihkan aktiviti ekonomi negara, tetapi seperti yang telah diumumkan Khairy Jamaluddin (Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan) bahawa kita juga berdepan dengan masalah bekalan vaksin.

 

“Sekiranya bekalan vaksin ini dapat tiba dalam negara pada waktu yang telah dijadualkan, kita yakin proses ini (suntikan vaksin) dapat disempurnakan selewatlewatnya sehingga hujung tahun ini. 

 

"Setakat ini pembekalan vaksin berjalan dengan baik dan lancar. Kita dimaklumkan dalam bulan Mei dan Jun jumlah bekalan akan meningkat dengan lebih besar dan ini akan mempercepatkan proses imunisasi,” katanya. - DagangNews.com