PPV Kompleks TM Taiping percepatkan program vaksinasi penduduk | DagangNews Skip to main content

PPV Kompleks TM Taiping percepatkan program vaksinasi penduduk

ORANG ramai mengambil tempat di dalam Pusat Pemberian Vaksin di Kompleks TM Taiping. - Gambar ELAN ELANGO

 

 

TAIPING 21 Sept – Kompleks Telekom Malaysia Berhad (TM) di bandar ini yang dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) integrasi, membantu melancarkan dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada penduduk setempat.

 

Pengurus Besar, Kawal Selia dan Keterlibatan Negeri (TM Perak) Badrul Hisham Bahari berkata, Kompleks TM Taiping menjadi PPV integrasi swasta yang pertama di Perak dan telah memulakan operasinya pada pertengahan Ogos 2021.

 

Menurut beliau, Pembukaan Kompleks TM Taiping sebagai PPV Integrasi yang beroperasi mulai pertengahan Ogos lalu adalah sebagai tanda sokongan syarikat ke arah mempercepatkan program vaksinasi kebangsaan.

 

Ia merupakan premis ketiga milik TM yang diubah menjadi sebuah PPV dalam usaha menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) selepas PPV Mega Integrasi di Kampus MMU Cyberjaya dan PPV di Kampus MMU Melaka.

 

“Kami amat gembira apabila berpeluang untuk memberikan sokongan bagi mempercepatkan program imunisasi di Perak dengan pembukaan Kompleks TM Taiping sebagai sebuah PPV.

 

“Kita telah berada di landasan tepat untuk mencapai imuniti kelompok dan TM akan terus menyokong sepenuhnya pelan pemulihan kerajaan dan terus disokong sepanjang setiap fasa pelan pemulihan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

 

PPV Kompleks TM Taiping ini boleh menampung pemberian vaksin sehingga 1,800 dos sehari.

 

Selain ruang Dewan Rumpun Seri, Dewan Kemboja dan tempat letak keretanya yang luas di premis itu, PPV tersebut turut dilengkapi dengan sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi untuk kemudahan pengunjungnya. – DagangNews.com