KUALA LUMPUR 23 Mac - AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), kumpulan syarikat penerbangan Capital A, mengumumkan secara rasmi penubuhan ahli lembaga pengarah yang baru dibentuk selepas pengumuman Tan Sri Jamaludin Ibrahim sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif.
Pengumuman barisan ahli lembaga pengarah khusus untuk kumpulan syarikat penerbangan ini mencerminkan strategi pertumbuhan baharu AAAGL dan syarikat portfolio pelaburan syarikat penerbangan berkaitan.
Antara yang dilantik termasuklah Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria, 55, yang merupakan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Beliau yang aktif dalam pengurusan sukan di Malaysia, sebelum ini berkhidmat sebagai Pengerusi Institut Sukan Negara, Bendahari Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur.
Selain itu, beliau juga merupakan Presiden Persatuan Sukan Komanwel Malaysia, Presiden Persatuan Polo Diraja Malaysia dan ahli lembaga Majlis Sukan Negara (MSN). Norza juga merupakan Akauntan Bertauliah dan Felo CPA Australia.
Barisan lembaga pengarah turut dianggotai Suvabha Charoenying, 58, yang merupakan salah seorang pakar pelaburan terbaik di rantau ini dengan lebih 35 tahun pengalaman dalam Pasaran Modal di Thailand.
Beliau juga mempunyai 23 tahun dalam perbankan pelaburan, 6 tahun dalam pengurusan aset dan dana serta 6 tahun sebagai pegawai pinjaman dengan beberapa institusi kewangan terkemuka di Thailand.
AAAGL turut melantik bekas Ketua Pegawai Operasi Singapore Tech Engineering Ltd., Lim Serh Ghee, 62, yang turut memainkan peranan penting dalam pertumbuhan global yang berterusan untuk sektor aeroangkasa.
Antaranya, termasuklah secara strategik memindahkan sektor aeroangkasa ke dalam pembuatan peralatan asal sistem nacelle enjin pesawat panel lantai komposit serta pengembangan tambahan keupayaan penukaran Penumpang-ke-Kargo ST Aerospace.
Turut menganggotai ahli lembaga pengarah itu ialah pakar dalam bidang undang-undang korporat dan litigasi di Filipina, Francisco Ed. Lim, 67.
Beliau juga menerajui pasukan yang mengendalikan beberapa urus niaga berkaitan pasaran modal terbesar di Filipina dan pernah berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Saham Filipina (PSE) dari 2004 hingga 2010.
Mengulas mengenai pelantikan ini, Pengerusi AAAGL, Tan Sri Jamaludin Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata, setiap ahli lembaga dipilih dengan teliti bagi memastikan kumpulan mempunyai gabungan pengalaman, bakat, jantina dan budaya yang tepat untuk memacu AAAGL ke hadapan.
Katanya, barisan tersebut hanyalah pengenalan dan kumpulan akan menambah ahli lain untuk melengkapkan pasukan syarikat tidak lama lagi.
“Kecuali Bo Lingam yang memegang jawatan eksekutif sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AAAGL, ahli lembaga pengarah yang lain semuanya terdiri daripada pengarah bebas dan berpengalaman luas dalam industri masing-masing dan membawa bersama kepelbagaian untuk memastikan tadbir urus korporat yang teguh dan pengawasan strategik yang kukuh.
“Ini adalah masa yang tepat untuk mengumumkan ahli lembaga pengarah AAAGL yang berasingan daripada ahli lembaga pengarah Capital A, kerana ia akan membawa syarikat penerbangan kami dan perniagaan portfolio yang berkaitan ke tahap baharu pada masa hadapan," jelas beliau. - DagangNews.com