Prestasi 9M20 undang 3 risiko kemerosotan Sunway Berhad | DagangNews Skip to main content

Prestasi 9M20 undang 3 risiko kemerosotan Sunway Berhad

Sunway Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Sunway Berhad (Sunway) mencatatkan jumlah keuntungan bersih pada sembilam bulan pertama (9M20) sebanyak RM190.5 juta.

 

Jumlah tersebut turun 64% berbanding tahun lalu disebabkan oleh penurunan jumlah pendapatan iaitu sebanyak 25.4% di samping kelemahan syarikat sekutu dan kadar cukai yang lebih tinggi.

 

Selepas menilai kepada situasi berkenaan CGS-CIMB Research berkata, keputusan untuk tempoh berkenaan dijangka akan mengundang tiga risiko kepada Sunway Berhad.

 

"Pertama, kelemahan perkembangan untuk pembinaan dan pembangunan hartanah kerana PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat).

 

"Kedua, pendapatan yang rendah untuk pelaburan hartanah seperti pusat beli-belah, hotel dan kegiatan waktu lapang.

 

"Dan jangkaan kerugian yang berterusan dalam segmen penjagaan kesihatan," jelas CGS-CIMB Research hari ini.

 

Mengulas lanjut, CGS-CIMB Research menyatakan bahawa segmen pelaburan hartanah dan pembinaan Sunway mencatatkan penurunan pendapatan terbesar pada sembilan bulan pertama 2020 dengan penurunan 41% hingga 51% berbanding tahun sebelumnya.

 

Penurunan itu didorong oleh penamatan pesanan kerja pada suku kedua 2020 untuk pembinaan dan kelemahan segmen runcit serta hotel.

 

Mengulas perkara sama, MIDF Research bagaimanapun memberitahu, pihaknya menjangkakan pendapatan bahagian pembangunan hartanah akan menjadi lebih kuat pada suku keempat tahun kewangan 2020.

 

Jangkaan itu dinilai kepada jangkaan Sunway yang akan mengiktiraf keuntungan bumper daripada projeknya di Singapura dan China.

 

"Projek Rivercove Residences di Singapura dan projek Sunway Gardens di China dijangka akan diserahkan pada suku keempat  tahun kewangan 2020," jelas MIDF Research.

 

MIDF Research menambah, Sunway juga mencatatkan penjualan baharu berjumlah RM270 juta pada suku ketiga 2020 sekali gus menjadikan penjualan yang terkumpul sebanyak RM943 juta pada sembilan bulan pertama tahun kewangan 2020.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' saham Sunway dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM1.34.

 

Manakala CGS-CIMB Research pula mengekalkan saranan 'pegang' saham Sunway dengan TP yang lebih tinggi iaitu RM1.44. - DagangNews.com