Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Nov. - Eksport Malaysia yang meningkat 0.2% kepada RM91.05 bilion pada Oktober 2020 dijangka kekal kukuh walaupun masih wujud risiko pandemik COVID-19.
Secara amnya, eksport telah meningkat dengan stabil sejak menerima kejutan awal wabak itu pada April dan Mei, sejajar dengan aktiviti ekonomi yang kembali bergerak di seluruh dunia.
Menurut MIDF Research, prestasi eksport akan dipacu jualan beberapa produk terutamanya elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit dan getah.
Bagaimanapun, katanya, peningkatan jangkitan COVID-19 baru-baru ini di beberapa negara utama hingga membawa kepada pelaksanaan sekatan dijangka memberi kesan kepada prestasi eksport Malaysia.
"Di sebalik pemulihan menyeluruh, penghantaran keluar masih kekal lemah berbanding tahap tahun lalu memandangkan masih terdapat beberapa risiko penurunan.
"Ini termasuklah gelombang baharu COVID-19 dan dasar perlindungan yang semakin meningkat, yang akan mengganggu proses pemulihan sebahagian besar negara," katanya dalam nota kajian hari ini.
Eksport Malaysia pada Oktober merupakan nilai eksport ketiga tertinggi direkodkan setakat ini dipacu peningkatan ke Amerika Syarikat (AS), China, India dan United Kingdom (UK).
Dalam perangkaan yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri hari ini, import pada Oktober 2020 menurun 6% kepada RM68.93 bilion, manakala perdagangan bernilai RM159.98 bilion, susut 2.5%.
Ini menjadikan lebihan dagangan Malaysia bulan lalu meningkat kepada RM22.12 bilion, mencatatkan pertumbuhan dua angka 25.9% tahun ke tahun dan menjadi lebihan dagangan tertinggi pernah direkodkan bagi Oktober.
Bagi tempoh 10 bulan 2020, lebihan dagangan mencatatkan pertumbuhan 2 angka sebanyak 16.3% kepada RM147.04 bilion berbanding tempoh sama 2019.
Jumlah perdagangan dalam tempoh itu bernilai RM1.454 trilion, merosot 4.9%.
Menurut MIDF Research, import barangan perantaraan dan modal juga kekal lemah, apabila masing-masing menyusut 6.1% dan 17.1% yang mencerminkan pengeluar masih berhati-hati terhadap permintaan akan datang.
"Tambahan pula, pengeluar tidak menjalankan operasi pada kapasiti penuh selagi permintaan untuk input rendah," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, input barangan pengguna pula meningkat 6.5% tahun ke tahun, meneruskan rentak positif untuk bulan ke-5 berturut-turut dengan sebahagian besarnya didorong pengukuhan ringgit. - DagangNews.com