KUALA LUMPUR 23 Feb - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Globetronics Technology Bhd. dengan harga sasaran lebih rendah pada RM2 daripada RM2.53 sebelum ini setelah unjuran kumpulan disemak semula.
Firma itu mengurangkan unjuran hasil Globetronics bagi tahun kewangan 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak 17% dan 19% berikutan prestasi FY21 kurang memuaskan.
"Secara kumulatif, hasil dinormalisasi bagi FY21 berjumlah RM49.6 juta, yang mana ia di bawah jangkaan kami tetapi memenuhi ramalan konsensus, masing-masing merangkumi 84% dan 96% daripada anggaran hasil.
"Hasil yang lebih rendah daripada jangkaan itu disebabkan oleh jumlah pemuatan yang lebih rendah daripada jangkaan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021, untung bersih kumpulan meningkat 6.13% kepada RM17.89 juta berbanding RM16.86 juta bagi tempoh sama tahun lalu, disokong oleh campuran produk yang lebih baik dan pelarasan ke atas perbelanjaan terakru pada suku tersebut.
Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun susut 23% kepada RM48.58 juta daripada RM63.15 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Untuk tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2021 (FY21), untung bersih meningkat 4.22% kepada RM52.95 juta daripada RM50.8 juta bagi tempoh sama tahun lalu manakala pendapatan susut 9.44% kepada RM206.04 juta daripada RM227.52 juta.
MIDF Research bagaimanapun melihat prospek Globetronics masih kekal utuh dalam tempoh jangka panjang memandangkan kepakaran kumpulan dalam produk pengesan berteknologi tinggi boleh dimanfaatkan dalam pelbagai aplikasi.
"Oleh itu, kami menjangkakan pertumbuhan hasil kumpulan akan lebih konsisten pada masa akan datang terutamanya disokong oleh pengesan pintar generasi baharu kumpulan termasuk cahaya, gerak isyarat dan pergerakan.
"Tambahan pula, pemulihan dalam pasaran automotif juga adalah positif kepada perniagaan Light Emitting Diode (LED) kumpulan," jelasnya.
Setakat 10.39 pagi ini, harga saham Globetronics menokok 6 sen atau 4.44% kepada RM1.41 dengan 770,600 saham diniagakan. - DagangNews.com