Prestasi IP, vaksin lonjak prospek ekonomi negara | DagangNews Skip to main content

Prestasi IP, vaksin lonjak prospek ekonomi negara

 

 

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Prospek ekonomi dijangka lebih baik pada bulan-bulan akan datang dengan mengambil kira prestasi Indeks Pelopor (IP) dan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. 

 

Menurut Jabatan Perangkaan, IP Malaysia mencatatkan 108.8 mata pada Disember 2020 berbanding 101.6 mata pada Disember 2019, kekal pada pertumbuhan tahunan 7.1% sejak November 2020. 

 

Pengembangan IP didorong terutamanya oleh Indeks Perusahaan Bursa Malaysia dengan Indeks Penjagaan Kesihatan dan Indeks Pengangkutan & Logistik sebagai penyumbang. 

 

"Sebaliknya, IP menunjukkan penurunan negatif 0.3% dari segi perubahan peratusan bulanan. 

 

"Prestasi yang lebih perlahan dipengaruhi oleh penurunan yang signifikan dalam Penawaran Wang Benar, M1 pada negatif 1.0% pada bulan yang dikaji," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia semakin meningkat dengan pelaksanaan sekatan pergerakan yang berpanjangan. 

 

"Untuk mengurangkan kesannya, kerajaan memberikan respon secara proaktif melalui pengumuman pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) untuk memperkuatkan inisiatif semasa sedia ada," katanya.  

 

Menurutnya, Indeks Serentak (IS) yang mengukur prestasi ekonomi semasa, tumbuh 1.2% untuk mencapai 113.7 mata pada Disember 2020 daripada 112.4 mata pada bulan sebelumnya. 

 

Semua komponen IS menyumbang secara positif terutamanya oleh Indeks Pengeluaran Perindustrian pada 0.4%. 

 

"Bagi tahun ke tahun, IS menunjukkan trend yang lebih baik dengan mencatatkan -1.4% pada bulan rujukan daripada 2.3% pada November 2020," jelas beliau.

 

Indeks Difusi bagi IP merekodkan 71.4% pada Disember 2020. 

 

Pada masa sama, Indeks Difusi bagi IS kekal pada 100% sejak Oktober 2020 menunjukkan semua komponen IS meningkat berbanding 6 bulan lalu. - DagangNews.com