Prestasi Jemaah Menteri capai tahap 90% dalam tempoh 100 hari - Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Prestasi Jemaah Menteri capai tahap 90% dalam tempoh 100 hari - Perdana Menteri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, prestasi keseluruhan 100 hari Jemaah Menteri berjaya mencapai tahap cemerlang iaitu sekitar 90%. 

 

Beliau memuktamadkan Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari diukur berdasarkan Perkhidmatan Teras Kementerian (50%), Penilaian Prestasi Menteri (25%) dan Persepsi Awam (25%) terhadap Menteri dan Kementerian. 

 

Beliau berkata, sesetengah prestasi tidak boleh dinilai daripada kaji selidik semata-mata, justeru pencapaian berkenaan bukan alasan untuk menteri dan kementerian mendabik dada tetapi menyuntik kesungguhan untuk terus bekerja bersama rakyat.

 

"Sebanyak 140 sasaran telah ditetapkan untuk dilaksanakan sepanjang tempoh 100 hari tersebut, yang melibatkan 31 Menteri daripada lima kluster, iaitu Menteri Kanan, Ekonomi, Sosial, Keselamatan dan Infrastruktur.

 

"Prestasi keseluruhan 100 Hari Jemaah Menteri belum menepati sasaran 100% seperti yang dihasratkan. Namun pada ketika ini, Ahli Jemaah Menteri telah mencapai sekitar 90%.

 

"Sasaran penuh Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tidak mustahil untuk dicapai jika seluruh ahli Jemaah Menteri dengan kerjasama penjawat awam menggembleng tenaga dan memberi khidmat yang terbaik serta berkesan, dengan mengetepikan segala karenah birokrasi yang rumit," katanya ketika berucap merasmikan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

 

Perdana

 

Ismail Sabri berkata, seramai 190,914 ahli Keluarga Malaysia terlibat dalam tinjauan soal selidik oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Pengurusan Malaysia (MAMPU) untuk menilai pencapaian Jemaah Menteri dan kementerian.

 

"Saya memahami bahawa rakyat meletakkan harapan yang tinggi terhadap kerajaan ini namun, 100 hari bukanlah jangka masa yang memadai untuk mengukur prestasi. 

 

"Masih terdapat ruang yang perlu diberikan perhatian serius dan ditambah baik. Kami akan berusaha dengan sebaik-baiknya, demi kemaslahatan rakyat," katanya.

 

sirim

 

Perdana Menteri berkata, pelaporan pencapaian 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia itu penting dalam menentukan hala tuju dan momentum kerajaan untuk mencapai matlamat, agar Keluarga Malaysia dapat menikmati kehidupan yang lebih baik. 

 

Perdana Menteri berkata, pencapaian 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia tidak akan terhenti setakat ini menjadi aspirasi kerajaa untuk bekerja bersama rakyat akan berterusan melalui pelan jangka masa sederhana bagi tempoh enam bulan dan sasaran jangka panjang. 

 

Beliau berkata, kerajaan peka terhadap keluh kesah rakyat, terutama peningkatan harga barang yang naik mendadak dan kerajaan telah mengambil tindakan segera mengawal harga, dengan memperkenalkan skim kawalan harga maksimum barang keperluan. 

 

"Mengambil kira analisis sentimen rakyat yang telah dilaksanakan terhadap Ahli Jemaah Menteri dan kementerian, setiap pandangan dan luahan rakyat mesti didengari dan diambil kira untuk menambah baik sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan, umpama memerah nyiur, santan diambil, hampas dibuang. Inilah janji saya kepada Keluarga Malaysia," katanya. - DagangNews.com