Prestasi kewangan bawah ramalan, penganalisis turunkan TP Supermax | DagangNews Skip to main content

Prestasi kewangan bawah ramalan, penganalisis turunkan TP Supermax

 


 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Mei - Dua firma penyelidikan menurunkan harga sasaran (TP) syarikat sarung tangan, Supermax Corporation Berhad selepas kumpulan mencatatkan prestasi suku ketiga tahun kewangan 2021 (3Q21) yang lebih rendah daripada ramalan. 

 

CGS-CIMB Research menurunkan TP Supermax daripada RM11.80 kepada RM6.60.

 

Dalam masa sama, penganalisis di firma penyelidikan itu, Walter Aw turut menurunkan perolehan sesaham (EPS) kumpulan bagi FY21 hingga FY23 sebanyak 1.9% hingga 10.2% yang mengambil kira jumlah pengeluaran lebih rendah dan harga bahan mentah lebih tinggi. 

 

“Pada pandangan kami, meletakkan TP berdasarkan tahun 2023 akan memberikan gambaran lebih baik kepada persekitaran bekalan dan permintaan yang seimbang, memandangkan kami mengunjurkan purata harga jualan (ASP) akan terus meningkat memasuki 2022,” katanya dalam satu nota kajian hari ini. 

 

Pada suku tahun semasa, Supermax menyaksikan keuntungan bersihnya melonjak 1,420% bagi perbandingan tahun ke tahun (y-o-y), yang turut merangkumi sumbangan RM75 juta daripada kerajaan sebagai usaha membendung COVID-19. 

 

Ini sekali gus mendorong kumpulan untuk mencatatkan keuntungan bersih pada sembilan bulan pertama FY21 (9M21) sebanyak RM2.9 bilion, di mana lebih rendah daripada jangkaan CGS-CIMB, jelas Aw lanjut. 

 

“Kami menjangkakan penyusutan perolehan pada 3Q21 disebabkan oleh jumlah pengeluaran yang lebih rendah ekoran penutupan sementara kilangnya di Meru, Klang untuk mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja,” tambah Aw. 

 

Supermax mengisytiharkan dividen interim sebanyak 13 sen sesaham, menjadikan dividen terkumpul bagi 9M21 sebanyak 16.8 sesaham, yang juga lebih rendah daripada jangkaan CGS-CIMB. 

 

CGS-CIMB bagaimanapun mengekalkan saranan ‘tambah’ saham Supermax dengan peningkatan ASP yang lebih daripada jangkaan dan permintaan sarung tangan yang kukuh menjadi pemangkin penilaian semula saham kumpulan. 

 

Senada itu, MIDF Research turut menyarankan ‘beli’ saham Supermax, namun TP diturunkan kepada RM6.73 daripada RM13.83.

 

Penganalisisnya, Ng Bei Shan membuat saranan itu berdasarkan penilaian Supermax yang dilihat menarik, pada kadar semasa.

 

Bei Shan percaya ASP kumpulan telah memuncak pada 3Q21 dan akan berada pada kadar sederhana bergantung kepada perkembangan pandemik dan bagaimana penularannya dapat dibendung. 

 

“Kami percaya sesetengah pembeli ketika ini mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam mengisi semula inventori mereka memandangkan harga ketika ini tinggi. Kapasiti pengeluaran pembuat sarung tangan juga telah berkembang kerana keuntungan yang menarik pada tempoh ini, dan ini menyebabkan harga semerta untuk sarung tangan getah menjadi sederhana kerana bekalan meningkat.

 

“Sebaliknya, peningkatan struktur dan kesedaran kebersihan yang lebih baik di seluruh dunia telah mewujudkan permintaan untuk sarung tangan getah tambahan, yang dijangka dapat menyokong harga melebihi tahap sebelum pandemik.

 

“Dalam tempoh masa terdekat, kami tidak menjangkakan penurunan drastik dalam ASP kerana permintaan diramalkan kekal tinggi,” ujar beliau dalam nota kajian berbeza. 

 

Setakat 10.06 pagi, harga saham Supermax menyusut 56 sen kepada RM5.01. - DagangNews.com