KUALA LUMPUR 30 Ogos - MIDF Research menyemak turun harga sasaran MyEG Services Bhd. kepada RM1.23 daripada RM1.25 sesaham sebelum ini berikutan prestasi kewangannya pada separuh pertama tersasar daripada jangkaan firma.
Menurut firma itu, kumpulan merekodkan keuntungan teras sebanyak RM175.2 juta bagi tempoh separuh pertama berakhir 30 Jun 2022, yang mana tersasar daripada ramalannya disebabkan sebahagian besarnya pendapatan daripada perkhidmatan kuarantin yang lebih rendah daripada jangkaan.
"Tetapi, secara keseluruhan, keuntungan teras berada di bawah jangkaan kami tetapi berada dalam anggaran konsensus, masing-masing merangkumi 41% dan 50% daripada tahun kewangan penuh.
"Oleh itu, kami mengurangkan unjuran keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak 5.8% dan 2.8%," katanya dalam nota kajian hari ini.
MyEG mencatatkan peningkatan dalam keuntungan bersih kepada RM88.64 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 daripada RM80.68 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu disebabkan penyambungan semula operasi pusat e-perkhidmatannya secara penuh di seluruh negara manakala pendapatan meningkat kepada RM161.79 juta daripada RM161.73 juta.
Keputusan yang lebih baik itu juga disebabkan oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada perkhidmatan pemadanan pekerjaan dalam kalangan pekerja asing dan sumbangan daripada penjualan token blockchain Zetrix.
Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2022, untung bersih meningkat kepada RM173.26 juta daripada RM156.97 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, tetapi pendapatan susut sedikit kepada RM323.56 juta daripada RM333.19 juta.
Bagaimanapun, MIDF Research optimis terhadap potensi komersial jangka panjang MyEG berikutan jumlah transaksi e-kerajaan yang semakin meningkat dan pengembangan dalam perniagaan berkaitan konsesi.
Ini membolehkan firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap MyEG berikutan prospek jangka panjangnya yang meyakinkan.
"Selain menyediakan perkhidmatan pengangkutan jalan dalam taliannya, kami juga berpendapat inisiatif blockchain serta kehadiran dan perkongsian globalnya mempunyai pengaruh yang bermanfaat ke atas sumbangan kumpulan dalam masa terdekat," jelasnya.
Setakat 12.25 tengah hari, harga saham MyEG menokok 6 sen atau 8.39% kepada 77.5 sen dengan 55.87 juta saham diniagakan. - DagangNews.com