Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Sept. - Walaupun lonjakan kes COVID-19 di dalam negara telah menjejaskan permintaan dan rantaian bekalan global pada suku ketiga 2021 (3Q21), namun impak tersebut dilihat minimum ke atas Malaysia.
Berdasarkan prestasi eksport pada Ogos 2021 yang melebihi jangkaan rata-rata penganalisis, firma penyelidikan, Kenanga Research menyemak naik unjuran tersebut kepada 16.7% daripada 11.8% bagi tahun ini, susulan prospek 4Q21 diunjurkan lebih baik.
“Ini terutamanya disebabkan oleh sekatan pergerakan yang lebih longgar, dengan hampir semua sub sektor pembuatan dan berorientasikan eksport dibenarkan beroperasi semula.
“Dalam pada itu, kepelbagaian produk eksport juga membantu mengurangkan impak teruk pandemik.
“Melangkah ke hadapan, aktiviti perdagangan dijangka terus memulih sehingga penghujung tahun ini memandangkan lebih banyak negara secara beransur-ansur membuka semula ekonomi ekoran perkembangan kadar vaksinasi yang baik,” jelas firma itu dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Eksport Malaysia mengekalkan momentum positif pada bulan Ogos 2021, mencatatkan pertumbuhan 18.4% tahun ke tahun kepada RM95.6 bilion.
Peningkatan dua digit bagi eksport ini disokong oleh eksport domestik dan eksport semula serta merupakan lonjakan tahun ke tahun untuk ke-12 bulan berturut-turut sejak September 2020.
MIDF Research sebaliknya mengekalkan unjuran pertumbuhan bagi kedua-dua eksport dan import Malaysia untuk tahun 2021, masing-masing berkembang 13.5% dan 12.7%.
Jelas firma itu, permintaan asing yang kian meningkat dalam produk elektrik dan elektronik (E&E), getah serta komoditi terutamanya minyak sawit mentah (MSM) dan gas asli cecair (LNG) akan memacu eksport negara untuk tempoh beberapa bulan akan datang.
“Namun, lonjakan semula kes COVID-19 baru-baru ini, prestasi yang perlahan dari China dan rantaian bekalan yang berterusan meruncing akan menjejaskan prospek perdagangan serta pengeluaran.
“...Di samping itu, pembekal menyatakan cabaran berterusan untuk mengatasi permintaan yang meningkat ketika berdepan kekurangan bahagian produk dan kenaikan kos pengeluaran,” tambah firma itu. - DagangNews.com