Prestasi pasaran ekuiti Malaysia kedua terburuk minggu lalu | DagangNews Skip to main content

Prestasi pasaran ekuiti Malaysia kedua terburuk minggu lalu

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Kebanyakan pasaran ekuiti utama di dunia menyaksikan prestasi positif pada minggu lalu, kecuali FTSE Bursa Malaysia KLCI dan Bursa Thailand (Thai SET).

 

Bagi tempoh berkenaan, FBM KLCI merupakan pasaran ekuiti kedua paling rugi, menyusut sebanyak 1.85% selepas Thai SET yang merudum 1.88%, menurut penganalisis di MIDF Research, Ummar Fitri.

 

Prestasi pasaran ekuiti terbaik diungguli, antaranya Dow Jones, S&P 500, China CSI 300, Hang Seng dan FTSE 100. 

 

MIDF
PRESTASI mingguan indeks utama di dunia pada minggu lalu yang berakhir 25 Jun. - Sumber nota kajian MIDF Research

 

“Di Asia, pelabur asing kekal sebagai penjual bersih pada minggu lalu. Semua pasaran kecuali Indonesia mencatatkan aliran keluar bersih negatif pada minggu lalu. 

 

“Aliran keluar dicatatkan untuk kali kedua pada bulan ini. Ini juga merupakan aliran keluar untuk dua minggu berturut-turut selepas tiga minggu pembelian bersih sebelum itu,” jelas Ummar dalam satu nota kajian hari ini.

 

Di peringkat pasaran ekuiti Malaysia, pelabur asing sekali lagi beralih kepada penjual bersih pada tempoh sama yang berakhir 25 Jun lalu, di mana menyaksikan aliran keluar berjumlah -RM469.52 juta.

 

Sebaik pasaran dibuka, Ummar berkata, pelabur asing menjual -RM184.99 juta nilai ekuiti bersih, dengan pelabur runcit dan institusi tempatan merupakan pembeli bersih, masing-masing bernilai RM121.41 juta dan RM63.58 juta.

 

“Pelabur asing merupakan penjual bersih setiap hari pada minggu lalu. Aliran keluar asing terbesar dicatatkan pada Isnin dengan aliran keluar terendah pada Jumaat bernilai -RM0.71 juta.

 

“Bagi pelabur runcit pula, mereka merupakan pembeli bersih setiap hari pada minggu lalu. Pembelian bersih terbesar oleh pelabur runcit dicatatkan pada Khamis, bernilai RM147.28 juta dan terendah pada Selasa, RM81.25 juta.

 

“Secara terkumpul pada minggu berkenaan, pelabur runcit telah membeli bersih RM579.89 juta nilai ekuiti di Bursa Malaysia,” tambah Ummar.

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan telah mencatatkan aliran keluar terkumpul mingguan bernilai -RM110.37 juta dengan penjualan bersih dilihat berlaku bermula Rabu hingga Jumaat.

 

Sejak awal tahun 2021 hingga setakat ini, hanya pelabur runcit yang membeli bersih pasaran ekuiti Malaysia bernilai RM7.90 bilion. 

 

Kata Ummar, pelabur institusi tempatan dan asing pula merupakan penjual bersih, masing-masing bernilai -RM4.08 bilion dan -RM3.81 bilion. - DagangNews.com