Prestasi pengeluaran minyak sawit mentah dijangka menyusut pada suku pertama tahun ini – MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Prestasi pengeluaran minyak sawit mentah dijangka menyusut pada suku pertama tahun ini – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Feb - MIDF Research menjangkakan prestasi pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) menyusut pada suku pertama tahun ini kerana pokok sawit memasuki kitaran pendebungaan.

 

Secara relatif, firma penyelidikan itu berpendapat bahawa prestasi pengeluaran terhenti pada asas tahunan dengan pertumbuhan tahun ke tahun kira-kira 5%, mendahului jangkaan El-Nino ringan pada suku kedua tahun ini.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata aktiviti perladangan kekal utuh, memanfaatkan penambahbaikan produktiviti buruh asing yang baharu.

 

MIDF Research kekal ‘neutral’ terhadap sektor perladangan dengan purata harga MSM pada RM3,600 setiap tan bagi 2024 dengan pilihan utama sektor adalah Ta Ann Holdings Berhad (beli, harga sasaran [TP]: RM4.25).

 

Menurut firma penyelidikan itu, memandangkan Ta Ann merupakan penggiat aktiviti pemain huluan semata-mata dan harga saham sangat berkaitan dengan pergerakan MSM kira-kira 0.82, sebarang trajektori menaik harga MSM (disebabkan oleh EL-Nino pada suku kedua 2024) akan memberikan peluang dagangan dalam saham.

 

Peristiwa El-Nino tertunda (yang akan mengehadkan bahagian bekalan) boleh menjadi potensi pemangkin untuk harga MSM kekal tinggi pada bulan-bulan berikutnya kira-kira RM3,600 hingga RM4,400 setiap tan.

 

“Bagaimanapun, kami juga bimbang tentang prospek produk hilirannya, kerana permintaan berdepan kekangan akibat tekanan inflasi yang tinggi, ditambah perbelanjaan isi rumah terhad berikutan kadar faedah asas yang tinggi di dalam negara dan seluruh dunia,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut laporan media semalam, data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan stok minyak sawit pada akhir Januari susut 11.83% berbanding bulan sebelumnya kepada 2.02 juta tan metrik, terendah sejak Julai tahun lalu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Stok minyak sawit Malaysia susut ke paras terendah dalam tempoh 6 bulan

 

Sebelum ini, stok minyak sawit Malaysia pada Disember 2023 dilaporkan berjumlah 2.29 juta tan manakala November pula 2.4 juta tan.

 

Pengeluaran minyak sawit mentah pula merosot 9.59% berbanding Disember kepada 1.40 juta tan pada Januari, terendah sejak April, manakala eksport turun 0.85% kepada 1.35 juta tan, kata MPOB. - DagangNews.com