Prestasi perdagangan Malaysia Februari 2024 naik 3.3% seiring peningkatan import | DagangNews Skip to main content

Prestasi perdagangan Malaysia Februari 2024 naik 3.3% seiring peningkatan import

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 Mac – Prestasi perdagangan Malaysia meningkat 3.3% pada Februari 2024 daripada RM205.0 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM211.8 bilion.

 

Peningkatan jumlah dagangan seiring dengan kenaikan import 8.4% kepada RM100.5 bilion manakala eksport menyusut secara marginal 0.8% atau RM939.5 juta.

 

Imbangan dagangan pula merosot 44.4% kepada RM10.9 bilion pada Februari 2024 seperti dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport Malaysia menurun pada Februari 2024 sejajar dengan penguncupan dalam eksport semula. 

 

Kata beliau, eksport semula berjumlah RM19.8 bilion, merosot 20.2% manakala eksport domestik bernilai RM91.5 bilion, menyumbang 82.2%  kepada jumlah eksport meningkat 4.7% berbanding Februari 2023.

 

dosm 2

 

"Sebaliknya, import bernilai RM100.5 bilion, meningkat 8.4%. Sementara itu, lebihan dagangan merosot 44.4% kepada RM10.9 bilion, merupakan lebihan dagangan ke-46 bulan berturut-turut sejak Mei 2020. 

 

"Membandingkan prestasi perdagangan dengan Januari 2024, eksport, import dan jumlah dagangan masing-masing mencatatkan penurunan 9.1%, 10.5% dan 9.7%.

 

"Imbangan dagangan mencatatkan kenaikan 6.9%,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Sementara itu, melihat dari sudut kumpulan barangan, 113 daripada 257 kumpulan eksport menunjukkan penurunan, namun 172 daripada 259 kumpulan import meningkat berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Dr Mohd Uzir menjelaskan, eksport yang lebih rendah disumbangkan oleh penurunan terutamanya ke Singapura (-RM2.8 bilion) diikuti oleh Hong Kong (-RM2.1 bilion), Thailand (-RM1.0 bilion), Republik Korea (-RM476.7 juta) dan Brazil (-RM396.8 juta). 

 

uzir
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin

 

"Selain itu, import yang lebih tinggi disumbangkan terutamanya dari Singapura (+RM2.8 bilion) diikuti oleh Amerika Syarikat (+RM1.1 bilion), Emiriah Arab Bersatu (+RM871.0 juta), Republik Korea (+RM793.5 juta) dan Kesatuan Eropah (+RM739.7 juta)," jelasnya.

 

Mengulas lebih lanjut mengenai eksport, Ketua Perangkawan itu berkata, penurunan ini sejajar dengan kejatuhan dalam barangan elektrik & elektronik (-RM4.4 bilion); keluaran petroleum (-RM1.7 bilion); minyak sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak sawit (-RM579.4 juta) dan kimia & bahan kimia (-RM351.8 juta). 

 

"Kenaikan import pula dicatatkan untuk barangan elektrik & elektronik (+RM2.8 bilion); jentera, kelengkapan & peralatan (+RM2.0 bilion); keluaran petroleum (+RM1.1 bilion) dan barangan perkilangan logam (+RM872.4 juta)," jelasnya.

 

Dr. Mohd Uzir berkata, pertambahan import mengikut Penggunaan Akhir seiring dengan permintaan yang lebih tinggi bagi barangan modal, barangan penggunaan dan barangan perantaraan. 

 

Katanya, import barangan modal bernilai RM10.2 bilion, meningkat 30.3 peratus berbanding Februari 2023, mewakili 10.2 peratus daripada jumlah import. 

 

"Barang penggunaan (8.4% daripada jumlah import), meningkat 19.7 peratus daripada RM7.0 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM8.4 bilion. 

 

"Barangan perantaraan (55.5% daripada jumlah import), bernilai RM55.8 bilion, mencatatkan peningkatan 14.3 peratus atau RM7.0 bilion.

 

"Jumlah dagangan, eksport dan import bagi tempoh Januari hingga Februari 2024 mencatatkan peningkatan 8.3 peratus, daripada RM412.1 bilion kepada RM446.4 bilion, sejajar dengan peningkatan eksport (+3.9%) serta import (+13.6%)," katanya.

 

Pada masa yang sama, beliau berkata, lebihan dagangan berkurangan 44.2 peratus mencatatkan nilai RM21.0 bilion.- DagangNews.com