Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Nov. - Peniaga meramalkan prestasi perniagaan yang lebih baik pada suku keempat 2020 (4Q20) dengan menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
Namun, mereka kekal pesimis dengan mencatatkan -10.8% berbanding -21.0% pada suku tahun sebelumnya, kata Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.
Jelasnya, ramalan itu dibuat oleh sektor meliputi industri, perdagangan borong dan runcit serta perkhidmatan.
“Jangkaan ini ditunjukkan oleh penambahbaikan yang ketara dalam petunjuk keyakinan sektor industri serta perdagangan borong dan runcit masing-masing dengan -7.5% dan -8.7% pada suku tahun rujukan berbanding -24.0% dan -22.3% pada 3Q20.
“Manakala, sektor perkhidmatan menjangkakan prestasi yang lebih baik dengan sedikit peningkatan pada 4Q20 iaitu -12.2% berbanding -14.6% pada suku tahun sebelumnya.
“Sementara itu, sektor pembinaan merupakan sektor yang paling pesimis dengan -39.1% pada suku tahun ini berbanding -23.7% pada suku tahun sebelumnya,” kata Mohd. Uzir dalam siaran Statistik Kecenderungan Perniagaan Suku Keempat 2020 hari ini.
Sementara itu, seramai 25.4% responden menjangkakan hasil kasar mereka meningkat pada 4Q20, manakala 37.2% menjangkakan penurunan seterusnya mendorong kepada imbangan bersih -11.8%.
Dalam masa yang sama, 37.4% responden meramalkan hasil kasar mereka kekal sama.
Dari segi bilangan pekerja, sebanyak 78.3% syarikat menjangkakan bilangannya kekal sama walaupun imbangan bersih -9.9%.
“Sejajar dengan itu, 5.9% syarikat menjangkakan pertambahan tenaga kerja, manakala 15.8% pula berhasrat untuk mengurangkan tenaga kerja pada 4Q20,” tambah Mohd. Uzir.
Jangkaan peniaga bertambah baik pada Oktober 2020 sehingga Mac 2021, dengan imbangan bersih keseluruhan mencatatkan -3.7% berbanding -11.2% yang direkodkan sebelum ini.
Sektor industri optimis terhadap prestasi perniagaan dengan imbangan bersih +14.2% berbanding -7.9% bagi tempoh Julai sehingga Disember 2020.
“Pada masa yang sama, sektor perdagangan borong dan runcit turut meramalkan prestasi perniagaan yang lebih baik bagi enam bulan akan datang dengan imbangan bersih -29.3% berbanding -34.2% yang dicatatkan pada tempoh Julai sehingga Disember 2020.
“Manakala, sektor pembinaan dan perkhidmatan menjangkakan prestasi perniagaan yang merosot dengan imbangan bersih masing-masing -50.0% dan -9.1% bagi tempoh enam bulan ke hadapan,” jelas beliau. - DagangNews.com