Prestasi S3TK21 cerminkan kerentanan syarikat susulan penutupan operasi perniagaan | DagangNews Skip to main content

Prestasi S3TK21 cerminkan kerentanan syarikat susulan penutupan operasi perniagaan

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 2 Dis -  Kitaran laporan prestasi bagi suku ketiga tahun kewangan 2021 (S3TK21) mencerminkan kerentanan syarikat-syarikat Malaysia, khususnya yang lebih kecil, susulan penutupan sepenuhnya operasi perniagaan di seluruh negara pada suku tersebut.

 

Public Investment Bank berkata, walaupun pendapatan 2021 dijangka berkembang teguh secara relatif sebanyak +54.9%, ia adalah disebabkan pelarasan menaik pada pendapatan berasaskan bank dan perladangan tertentu.

 

Menurut firma penganalisis itu, pendapatan syarikat-syarikat pada TK22 kini dijangka menguncup sebanyak 3.3% sebahagiannya hasil daripada Cukai Makmur.

 

"Walau bagaimanapun, perlu diambil perhatian bahawa syarikat yang lebih besar kelihatan lebih berdaya tahan dengan sektor perbankan, perladangan dan tenaga yang agak melebihi jangkaan. 

 

"Pelarasan pendapatan, walaupun agak banyak kali ini, mempengaruhi syarikat yang lebih kecil.

 

"Jangkaan pemulihan yang lebih kukuh pada suku akan datang mungkin tertangguh kerana syarikat terus berusaha melalui kesan sekatan pergerakan dan kelewatan pembukaan semula sektor ekonomi, serta kekangan kapasiti," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Tambah PublicInvest, 2022 berkemungkinan menjadi tahun percanggahan kerana menurutnya, walaupun pertumbuhan dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka mencecah 5.5% hingga 6.5%  yang biasanya meningkatkan keyakinan dan mencerahkan sentimen pelabur berikutan jangkaan pertumbuhan pendapatan yang stabil, pelabur mungkin juga berhadapan pelbagai prospek negatif.

 

"Ini termasuklah pendapatan yang lebih rendah dan kemungkinan dividen yang lebih rendah daripada saham mewah berpendapatan tinggi bermodal lebih besar akibat Cukai Makmur.

 

"Selain itu kos urus niaga yang tinggi akibat daripada kenaikan duti setem yang boleh menghalang aktiviti perdagangan, dan kadar faedah yang lebih tinggi yang  yang mungkin menyaksikan aliran dana keluar daripada pasaran ekuiti," katanya.

 

Di samping itu PublicInvest turut berpendapat isu struktur seperti gangguan rantaian bekalan yang berterusan walaupun jangkaan akan berkurangan pada tahun 2022 dan kekurangan buruh mungkin masih mengeruhkan sentimen. -DagangNews.com