KUALA LUMPUR 22 Sept - PRG Holdings Berhad (PRG) yang tersenarai di pasaran utama akan memanfaatkan pengambilalihan Singapore Energy Solution Global Ltd (ESGL) untuk meningkatkan pendapatan kumpulan pada masa hadapan.
Ini kerana kumpulan melihat permintaan yang semakin meningkat dan pasaran yang berkembang dalam perniagaan kecekapan tenaga di Malaysia dan Singapura.
PRG mengumumkan pada 29 Ogos 2022 bahawa ia mengambilalih baki 6,275 saham atau 62.75% kepentingan ekuiti dalam ESGL untuk HK$58.19 juta (bersamaan dengan RM31.42 juta) yang mana telah diselesaikan melalui anak syarikat 50.45% miliknya iaitu Furniweb Holdings Limited (Furniweb).
Pengambilalihan ini telah diselesaikan melalui tunai dan terbitan saham biasa baharu dalam Furniweb. Susulan itu, Furniweb kini akan dapat menyatukan sepenuhnya pendapatan ESGL.
Pemerolehan ESGL adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang Kumpulan PRG untuk meneroka industri pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara, sistem pengurusan tenaga (HVAC-EMS), satu perniagaan cekap tenaga.
ESGL akan meningkatkan pendapatan Kumpulan PRG pada masa hadapan berdasarkan rekod prestasi mereka yang kukuh dan buku tempahan di tangan yang mantap.
Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan PRG, Datuk Lua Choon Hann berkata, pengambilalihan ESGL adalah pencapaian penting bagi inisiatif ESG PRG.
Beliau berkata, meningkatkan kecekapan tenaga dalam bangunan adalah cara yang murah dan berimpak rendah untuk mengurangkan pelepasan karbon dan pencemaran iklim.
"Saya percaya kebimbangan ESG menjadi lebih mendesak berbanding sebelum ini serta cadangan ESG kami pasti akan mencipta nilai untuk Kumpulan PRG pada masa hadapan.
“Dalam jangka masa terdekat, kami melihat permintaan yang semakin meningkat dan pasaran yang berkembang dalam perniagaan kecekapan tenaga di pasaran Malaysia dan Singapura.
“Menurut China Insights Consultancy, saiz pasaran industri HVAC-EMS di Malaysia dijangka meningkat daripada AS$205.9 juta pada 2021 kepada AS$434.8 juta menjelang 2026, mewakili CAGR sebanyak 16.1% antara 2021 dan 2026.
"Di Singapura, saiz pasaran dijangka meningkat dua kali ganda daripada AS$113.4 juta pada 2021 kepada AS$235.5 juta menjelang 2026, mewakili CAGR sebanyak 15.7% antara 2021 dan 2026,” tambahnya. - DagangNews.com