Prince Premium+ raih kontrak lebih RM2.46 bilion dari firma Chicago | DagangNews Skip to main content

Prince Premium+ raih kontrak lebih RM2.46 bilion dari firma Chicago

 
SHAH ALAM 23 April – Prince Premium+, jenama sarung tangan yang dikeluarkan oleh GIS Resources Sdn. Bhd., hari ini mengumumkan telah memeterai perjanjian pengedaran selama tiga tahun dengan PPE Advantage (Dsource LLC) yang berpangkalan di Chicago bernilai lebih AS$600 juta atau RM2.46 bilion.

 

Dalam perjanjian tersebut, yang dimeterai pada bulan lalu, PPE Advantage menjadi pengedar induk sarung tangan gred pemeriksaan nitril dan lateks untuk pasaran Amerika Syarikat dan Amerika Latin. Perjanjian pengedaran tersebut bernilai lebih AS$200 juta setahun dan penghantaran pertama sarung tangan Prince Premium+ telah bermula pada Mac.


 
Justeru, Prince Premium+ mengumumkan bahawa keupayaan pengeluaran bulanannya akan meningkat daripada 1.5 juta kotak sarung tangan kepada 5 juta kotak mulai Mei 2021. Sekotak sarung tangan mengandungi 100 helai.


 
Dato’ Murali Darvin, CEO Prince Premium+ berkata, pihaknya teruja bekerjasama dengan PPE Advantage, yang kini rakan kongsi terbesar kami di AS.

 

"Douglas Stein, CEO PPE Advantage berpengalaman lanjut dalam perniagaan kelengkapan pelindungan peribadi (PPE) dan mempunyai banyak pelanggan. Semua ini pastinya sangat berharga bagi kami. Perkongsian ini merupakan pencapaian penting dalam usaha kami menjadi jenama yang disegani khususnya di AS dan Amerika Latin.

 
 
“Saya sejak dahulu lagi percaya dalam menjalinkan perkongsian yang secocok. Perkongsian pertama kami ialah dengan HK Ventures, yang berperanan sebagai ketua rakan kongsi pemasaran kami untuk mempromosikan jenama Prince Premium+. Kerja mereka menghasilkan kerjasama hebat ini dengan Douglas Stein,” jelas Dato’ Murali.

LM350


 
Sementara itu Stein berkata, perniagaan sarung tangan perubatan pada masa ini sangat mencabar dan beliau sangat gembira bertemu rakan kongsi yang sebenar untuk sama-sama berkembang maju.

 

"Kami semua memberi sumbangan penting dalam perkongsian ini. Saya sangat bangga dengan jenama ini dan sangat menghargai perkongsian kami!,” katanya.


 
Prince Premium+ yang memulakan pembuatan pada November 2020 telah berjaya membuat sarung tangan gred pemeriksaan lateks dan nitril bermutu tinggi dan mengeksport jutaan sarung tangan kepada pelanggan di Eropah, Amerika Utara, dan Timur Tengah.


 
"Prince Premium+ sedang berusaha menghasilkan sarung tangan 510(k) dan kami harap dapat menyediakan sarung tangan baru tersebut untuk diserahkan kepada Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) AS menjelang suku ketiga tahun ini,” kata Murali. - DagangNews.com