TANGKAK 11 Feb - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak boleh ditangguhkan berikutan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tarikh pengundian telah dilaksana.
Beliau berkata, satu-satunya kaedah menangguhkan PRN Johor adalah menerusi pengisytiharan darurat, yang mana ia tidak mungkin berlaku.
"Ia tidak boleh (tangguh PRN Johor). Hanya ada satu cara saja yang membolehkan tangguhkan PRN iaitu dengan mengadakan darurat. Itu saja kaedahnya.
"Apabila DUN sudah dibubarkan, butiran pilihan raya sudah diumumkan termasuk tarikhnya dan sebagainya, ia memang tidak boleh ditangguhkan.
"Kalau nak ditangguhkan hanya dengan mengumumkan darurat di seluruh Johor. Jika kita buat darurat, tak kan Johor saja darurat, negeri lain tidak (darurat) kerana peningkatan kes berlaku seluruh negara.
"Saya sudah umumkan tiada lagi sekatan termasuk darurat akan dilakukan selepas ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Ledang di sini hari ini, lapor Berita Harian.
Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad. - DagangNews.com