Produk panel kayu sawit IOI Corporation dijangka bawa pulangan pelaburan lebih 10% sekitar 7 hingga 8 tahun – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Produk panel kayu sawit IOI Corporation dijangka bawa pulangan pelaburan lebih 10% sekitar 7 hingga 8 tahun – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 Julai - Produk panel kayu sawit IOI Corporation Bhd dijangka meningkatkan kelayakan kemampanannya dan membawa pulangan pelaburan (ROI) lebih 10% sekitar tujuh hingga lapan tahun.

 

Susulan lawatan ke ladang dan kilang Gomali serta kilang Palm Wood, RHB Investment menzahirkan kekaguman terhadap tahap mekanisasi di ladang serta produk Palm Wood yang serba boleh dan pelbagai guna.

 

“Walaupun kami tidak menjangkakan Palm Wood menyumbang dengan ketara kepada pendapatan kumpulan, kami percaya produk ini akan meningkatkan kelayakan kemampanannya,” ujar firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma itu, kemudahan Palm Wood di Segamat adalah yang pertama di Malaysia dan merupakan syarikat usaha sama yang menukar batang pokok kelapa sawit lama, yang diperoleh daripada ladang dengan pensijilan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) berdekatan, menjadi panel kayu sawit OnCore yang ringan, kalis api dan penebat baik.

 

Firma itu berkata loji RM160 juta itu mempunyai kapasiti tahunan 80,000 meter padu dan akan memulakan operasi komersial pada 1 Julai, di mana IOI Corporation menjangkakan ROI akan menjadi lebih 10% dalam tempoh sekitar tujuh hingga lapan tahun, berdasarkan harga pasaran semasa.

 

RHB Investment berkata ia teruja dengan prospek usaha niaga Palm Wood, memandangkan kelayakan kemampanannya dan produk ini boleh membantu pelanggan meningkatkan kelayakan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mereka.

 

Walaupun harga masih belum ditetapkan, firma itu berkata produk papan blok serupa daripada spesies kayu berketumpatan rendah kini dijual pada harga AS$300 hingga 350 setiap meter padu (cu m).

 

“Kami menjangkakan Palm Wood mempunyai asas kos lebih rendah, kerana kos bahan mentah terbesar adalah untuk produk sisa yang boleh diperolehi terus dari ladangnya sendiri.

 

“Namun, kumpulan itu akan mengambil sedikit masa untuk membina pangkalan pelanggan dan meningkatkan pengeluaran memandangkan ini adalah produk baharu yang perlu diuji oleh pelanggan terlebih dahulu. Kami tidak menjangkakan usaha niaga ini menyumbang kepada pendapatan dengan ketara pada tahun-tahun awal,” jelasnya.

 

Sementara itu, tahap mekanisasi di ladang Gomali dilihat menjimatkan tenaga kerja sehingga 20%, di mana peningkatannya akan menaikkan nisbah pekerja-tanah daripada 1:8 kepada 1:12 dalam jangka panjang.

 

Di samping itu, kumpulan itu juga telah mendigitalkan penggredan buah tandan segar (BTS) melalui sistem pemantauan ladang elektronik (EPMS).

 

RHB Investment mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM4.35 sesaham.

 

Pada waktu penulisan, saham IOI Corporation menokok 6 sen atau 1.6% kepada RM3.79 dengan modal pasaran bernilai RM23.8 bilion. - DagangNews.com