KUALA LUMPUR 19 Sept - Kenanga Researh positif dengan prospek Thong Guan Industries Bhd. memandangkan kesemua segmen produknya mendapat permintaan tinggi sejajar dengan pembukaan semula ekonomi.
Ini mendorongnya mengekalkan pandangan 'outperform' dengan harga sasaran RM3.99 sesaham terhadap syarikat pengeluar pembungkusan plastik yang berpangkalan di Kedah ini.
Firma itu mendapati sesetengah produknya juga mendapat manfaat daripada pengembangan margin kerana harga jualan masih bertahan di sebalik penurunan kos input resin.
"Terdapat permintaan yang kukuh bagi produk premium filem regangan nano keluaran Thong Guan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, yang mana kami difahamkan, pengeluar tempatan telah meningkatkan harga di tengah-tengah kos tenaga yang tinggi.
"Atas sebab yang sama, harga jualan filem regangan nano kekal kukuh walaupun kos resin input menurun (sejajar dengan harga minyak yang lebih lemah), meningkatkan margin," katanya dalam nota kajian hari ini.
Secara dasarnya, produk filem regangan nano merangkumi 50% daripada jumlah pengeluaran regangan filem manakala regangan filem menyumbang separuh daripada hasil kumpulan.
Selain itu, terdapat pemulihan kukuh bagi permintaan untuk beg kurier Thong Guan (produk filem bertiup) sejak suku ketiga 2022, kerana stok pelanggannya semakin berkurangan.
Dalam hal ini, kumpulan dapat memanfaatkan kelebihan ini memandangkan peningkatan 50% dalam kapasiti pengeluaran beg kuriernya baru-baru ini. Beg kurier menyumbang kepada kira-kira 6% daripada jumlah hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21).
Menurut Kenanga Research, tiga barisan pengeluaran filem baharunya, yang beroperasi sejak awal bulan ini, telah meningkatkan kapasiti pengeluaran keseluruhannya sebanyak satu pertiga atau 50,000 satu tan setahun tahun kepada 200,000 satu tan setahun.
Buat masa ini, katanya, tiga barisan baharu itu terutamanya dikhususkan untuk pengeluaran minyak, gula dan laminasi, yang kebanyakannya digunakan dalam sektor perindustrian, makanan dan minuman (F&B) dan barangan pengguna cepat laris (FMCG).
"Pembungkus makanan (yang membentuk 5% daripada jumlah hasil FY21) juga menunjukkan prestasi yang baik dalam pembukaan semula ekonomi dengan permintaan lebih tinggi daripada sektor perhotelan khususnya restoran.
"Harga jualan purata (ASP) untuk pembalut makanan juga telah bertahan walaupun kos resin PVC jatuh, mengakibatkan peningkatan margin yang sepatutnya mengembalikan segmen ini kepada keuntungan daripada kerugian pada FY21," jelasnya.
Pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2022, Thong Guan merekodkan untung bersih sebanyak RM54.06 juta, meningkat 14.23% daripada RM47.33 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat 20.84% kepada RM712.3 juta daripada RM589.44 juta.
Setakat 9.22 pagi, harga sahamnya susut 1 sen atau 0.38% kepada RM2.60 dengan 4,000 saham diniagakan. - DagangNews.com