Produktiviti buruh meningkat 1.7% dengan 3 sektor mencatatkan pertumbuhan positif | DagangNews Skip to main content

Produktiviti buruh meningkat 1.7% dengan 3 sektor mencatatkan pertumbuhan positif

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Feb - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan produktiviti buruh Malaysia meningkat sebanyak 1.7% pada suku keempat 2021 disebabkan oleh pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang meningkat lebih pantas berbanding pertumbuhan pekerja.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, tiga sektor merekodkan pertumbuhan positif pada suku berkenaan iaitu sektor pembuatan, pertanian dan perkhidmatan manakala perlombongan dan kuari serta pembinaan kekal merosot. 

 

Beliau berkata, sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan tertinggi produktiviti buruh sebanyak 5.3%(suku ketiga 2021: -3.5%) dengan semua subsektor merekodkan peningkatan kecuali produk tekstil, pakaian dan kulit (-2.1%). 

 

"Produktiviti buruh sektor pertanian naik 2.9% berbanding -2.6 % pada suku ketiga 2021 manakala produktiviti buruh sektor perkhidmatan naik 1% (suku ketiga 2021: -6.2%) dengan kadar pertumbuhan tertinggi dicatatkan sektor pengangkutan dan penyimpanan (12.1%) diikuti oleh Maklumat & Komunikasi (4.9%) dan Utiliti (4.8%). 

 

"Bagi sektor pembinaan, produktiviti buruh merosot dengan negatif yang lebih kecil 11.2% (suku ketiga 2021: -18.8%) manakala Perlombongan dan pengkuarian merosot 10.7%," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Mohd. Uzir berkata, pertumbuhan tertinggi produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja direkodkan oleh sektor Pembuatan pada 4.6% disokong oleh pertumbuhan kukuh subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal (9.8%) dan minuman serta produk tembakau (8.6%). 

 

uzir
Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin

Beliau berkata, sektor pertanian melonjak kepada 1.7% berbanding pertumbuhan -3.4 % pada suku tahun sebelumnya selain sektor perkhidmatan meningkat marginal 0.7% dengan semua subsektor merekodkan peningkatan kecuali perdagangan borong dan runcit, hartanah dan perkhidmatan perniagaan masing-masing jatuh 1.3% dan 5.3%.

 

adas

 

"Sektor pembinaan mengalami kejatuhan terbesar iaitu 11% manakala sektor perlombongan dan kuari merosot 9.3%," katanya.

 

adas

 

Beliau berkata, ekonomi global termasuk Malaysia diunjurkan mencapai prestasi yang memberansangkan sepanjang tahun 2022 dan pemulihan berlaku lebih pantas pada era pasca pandemik yang memerlukan teknologi digital diadaptasi dengan segera terutamanya oleh perniagaan. 

 

"Krisis telah membuktikan bahawa teknologi menyokong perniagaan dalam meningkatkan komunikasi dan seterusnya memperluas capaian pelanggan selain merupakan penyelesaian yang terbaik bagi mendorong kepada peningkatan produktiviti," katanya. - DagangNews.com