PETALING JAYA 31 Mac - Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PRCA) hari ini mengumumkan barisan baharu pemegang jawatan dan ahli EXCO yang diketuai oleh Presiden, Prof. Mohd Said Bani C.M. Din pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2022, semalam.
Mengulas pelantikan ini, Prof. Mohd Said Bani berkata, jawatan Presiden ini merupakan tanggungjawab yang besar, namun beliau percaya dengan sokongan EXCO baharu dan semua ahli, Insya-Allah PRCA akan dapat mencapai objektif yang bakal ditetapkan.
''Saya amat berbesar hati dengan kepercayaan yang diberikan kepada saya dan menyambut pelantikan ini sebagai satu amanah untuk terus memartabatkan PRCA dengan semampunya.
“PRCA Malaysia akan meneruskan usaha ke arah mempertingkat pengiktirafan pengamal Perhubungan Awam dan peranan kami dalam usaha mengekalkan reputasi, mewujud atau mengubah persepsi terhadap sesebuah organisasi. Sehubungan ini, kami berharap fungsi komunikasi diiktiraf sebagai antara aspek penting dalam menyokong pencapaian objektif korporat pelanggan kami.
''Di sebalik cabaran yang mendatang, pengamal komunikasi perlu ‘memainkan peranan’ meskipun perlu 'menyesuaikan diri' dengan situasi dan persekitaran yang berbeza berikutan cabaran ini.
''Kita perlu mengiktiraf semua usaha perunding dan pengamal Perhubungan Awam, terutamanya semasa krisis yang dihadapi sepanjang 2 tahun lalu.
''Kami tetap menjana pelbagai kandungan dan berita untuk memastikan komuniti yang menjalani pengasingan diri mendapat berita terkini dan tepat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Barisan Jawatankuasa 2022-2024 ialah David Lian - Naib Presiden (Kumpulan Zeno); Stephanie Braukmann - Setiausaha Kehormat (Strategic Public Relations Group); Felix Heinimann – Bendahari Kehormat (Essential Business Malaysia); dan Ahli Exco, Andy See (Perspective Strategies); Blake Hoo (Weber Shandwick Worldwide Malaysia) dan Crystalbelle Lau Lay Yee (VOX Eureka).
Prof. Bani merupakan pengasas dan pemilik bzBee Consult Sdn Bhd dan berpengalaman luas dalam bidang Komunikasi Strategik, Komunikasi Krisis, Pengurusan Pemegang Taruh, Perhubungan Kerajaan, Pemasaran, Penjenamaan, Media Sosial serta latihan dalam semua bidang berkaitan.
Sebagai pengamal yang telah lama berkecimpung dalam industri ini dan berpegang teguh kepada falsafah ‘perkongsian ilmu’, beliau juga memegang jawatan Profesor Adjung di Fakulti Media dan Komunikasi, Universiti Taylor.
Beliau merupakan lulusan Ijazah LL.B. (Kepujian) dari Universiti Sheffield, United Kingdom dan meneruskan pengajian profesional di Oxford.
Prof. Bani mempunyai lebih 30 tahun pengalaman bekerja dalam pelbagai bidang termasuk Perkhidmatan Diplomatik, Penasihat Komersial dan Rundingan Luar Negara, Khidmat Nasihat dan Perundingan Undang-undang, Khidmat Nasihat Hiburan, Media dan Penyiaran serta Pengurusan Acara dan Artis.
Selaras dengan usaha ke arah mempertingkatkan profesionalisme dan pengiktirafan industri komunikasi, persatuan sedang membangunkan Kod Tatakelakuan & Piawaian Etika untuk industri sebagai bahan rujukan dan panduan bagi profesion ini.
Prof. Mohd Said Bani berkata, "Agensi Perhubungan Awam boleh mempengaruhi naratif merentasi bidang politik, perniagaan dan domain lain dan kami memerlukan panduan untuk memastikan ahli PRCA menjalankan tanggungjawab mereka secara beretika."
PRCA juga memainkan peranan penting untuk melaksanakan pelbagai inisiatif peningkatan kemahiran profesional dan pembangunan bakat untuk industri dan menganjurkan acara penting seperti Anugerah Perhubungan Awam Malaysia (MPRA) dan Sidang Kemuncak Perhubungan Awam Malaysia untuk pembangunan kemahiran dalam industri. – DagangNews.com