Proficeo, Everpeaks® umum kerjasama bantu PMPKS | DagangNews Skip to main content

Proficeo, Everpeaks® umum kerjasama bantu PMPKS

Renuka Sena dan Joachim Sebastian.

Renuka Sena dan Joachim Sebastian.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Syarikat Proficeo Consultants Sdn. Bhd. (Proficeo) mengumumkan kerjasama bersama syarikat penyedia penyelesaian e-dagang melalui omni-channel iaitu Evrpks Consulting Sdn. Bhd. (Everpeaks®).

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Proficeo, Renuka Sena berkata, kerjasama itu adalah inisiatif pihaknya dalam membantu Perusahaan Mikro dan PKS (PMPKS) di Malaysia untuk mengoptimumkan jualan e-dagang masing-masing.

"Ada antara mereka kehilangan 70% hingga 80% daripada penjualan berbanding tahun 2019. Walaupun ada dalam kalangan mereka yang sedang pulih, namun perkara tersebut akan mengambil masa untuk kembali pulih seperti biasa.

"Kami telah bekerjasama dengan usahawan mikro dan membimbing mereka hingga mencapai jualan berlipat kali ganda pada pra-PKP. Namun kali ini, kami bukan hanya memberi bimbingan mengenai perniagaan dalam talian, tetapi untuk mereka memahami landskap digital dan cara mengoptimumkan pelbagai saluran yang ada," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Proficeo adalah syarikat pengembangan usahawan butik yang telah mengembangkan program latihan dan bimbingan sejak 2008.

Hingga kini, Proficeo telah menjalin kerjasama perniagaan dengan lebih daripada 1,000 PMPKS.

Proficeo menyediakan program bimbingan seperti struktur, alat dan bimbingan sokongan yang disesuaikan kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Everpeaks®, Joachim Sebastian telah menjadi mentor dan jurulatih untuk pelbagai program yang dianjurkan Proficeo.

Jelas Sebastian, pihaknya berbesar hati dapat menjalin kejasama dengan Proficeo dalam pemerkasaan usahawan Malaysia.

"Saya telah bekerja dengan Proficeo lebih dari tiga tahun dan kami percaya mereka (Proficeo) adalah organisasi yang benar-benar ingin memperkasa usahawan Malaysia. Kami telah melihat sendiri pertumbuhan yang dihasilkan oleh Proficeo terhadap syarikat-syarikat yang diselia oleh mereka.

"Kami percaya dengan kerjasama ini akan menjadi kunci untuk mendorong impak ekosistem yang lebih besar terutamanya dalam ekonomi digital masa kini," tambah Sebastian lagi. - DagangNews.com