Proficient terima pembiayaan RM1 juta dari Falnas Capital | DagangNews Skip to main content

Proficient terima pembiayaan RM1 juta dari Falnas Capital


KUALA LUMPUR 28 Jun - Proficient, platform pengurusan projek pembinaan hujung ke hujung pertama di Malaysia berjaya meraih pembiayaan sebanyak RM1 juta daripada Falnas Capital Sdn Bhd, firma pelaburan strategik milik ahli perniagaan, SM Faliq SM Nasimuddin.

 

Boleh diakses sebagai aplikasi pengurusan projek mudah alih dan papan pemuka web direka untuk pengurusan risiko berkesan dan bagi meningatkan kecekapan, perisian Proficient membolehkan pemaju pembinaan untuk menguruskan komunikasi, dokumen dan semua aspek operasi termasuk jadual waktu, kemajuan dan keperluan secara digital.

 

“Kemudahan guna dan ketelusannya boleh menangani isu penangguhan pembinaan dan terlebih bajet, dan pada masa sama memberikan pandangan menyeluruh kepada pemegang kepentingan utama, kontraktor dan pengurus projek,” menurut syarikat itu dalam kenyataan di sini.

 

Proficient kata syarikat itu, akan menggunakan pembiayaan benih tersebut bagi meluaskan lagi perniagaannya di pasaran tempatan dan serantau, serta mempercepatkan pengembangan platform bagi menawarkan fungsi-fungsi inovatif dan meningkatkan keupayaan AI.Dana ini juga akan disalurkan bagi pengambilan bakat kepada pasukan teras sedia adanya.

 

CEO Proficient, Jitin Girdhar berkata, pihaknya bersyukur dengan kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh rakan-rakan niaga dan akan menggunakan suntikan dana itu bagi menamba baik mdel dipacu inovasi ini di dalam industri pembinaan negara yang tinggi persaingannya ini.

 

“Di sebalik pertumbuhan besar industri pembinaan sejak sedekad lalu, namun pengurusan pembinaan di Malaysia terhalang kemajuannya dengan model tradisional, sedangkan ia boleh diubah ke digital dan pengautomasian.

 

“Ini termasuk kertas kerja, logistik dan inventori yang dilakukan secara tangan. Dengan Proficient, kami mahu melakukan transformasi setiap aspek projek pembinaan,” ujar beliau.

 

Sementara itu, Pengasas Falnas Capital, SM Faliq SM Nasimuddin berkata, sebagai firma pelaburan yang bermatlamat membangunkan perniagaan berpotensi tinggi, kami melihat Proficient sebagai sebuah platform inovatif yang akan secara positif merubah landskap pembinaan di negara ini.

 

SM Faliq SM Nasimuddin
SM Faliq SM Nasimuddin

 

“Kami yakin apabila ia sudah berdiri kukuh di Malaysia, Proficient berupaya untuk melangkah ke tahap seterusnya menerusi perluasan serantau dan global,” kata beliau. - DagangNews.com