Program 'Bridge to Brilliance' anjuran Usanita pupuk kerjasama usahawan Malaysia, Indonesia | DagangNews Skip to main content

Program 'Bridge to Brilliance' anjuran Usanita pupuk kerjasama usahawan Malaysia, Indonesia

Datuk Adzliana Hasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Nov - Usanita Sdn Bhd melancarkan program 'Bridge to Brilliance - Usanita ft Jakarta', yang bakal menjadi platform terbaik untuk memupuk kerjasama antara usahawan Malaysia dan Indonesia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datuk Adzliana Hasan berkata, program yang dijadualkan pada Januari tahun depan itu bakal memberikan peluang kepada ahli Usanita dan usahawan Malaysia untuk belajar dan bekerjasama dengan rakan sejawat mereka dari Indonesia, yang terkenal dengan kerjasama rapat dan ukhwah sesama mereka.

 

"Usahawan Malaysia perlu aktif meneroka pasaran di Indonesia manakala usahawan dari negara seberang juga harus melakukan perkara yang sama. Dengan jumlah penduduk melebihi 300 juta di kedua-dua negara, kerjasama ini menyediakan platform yang amat besar untuk meneroka pasaran di peringkat ASEAN dan global," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Adzliana berkata, melalui kerjasama tersebut, Usanita berupaya membangunkan ekosistem perniagaan dan pasaran yang luas di Indonesia dan Malaysia.

 

Beliau berkata, ia boleh dilaksanakan dalam pelbagai cara, termasuk kerjasama melibatkan produk dan perkhidmatan yang disokong inisiatif kukuh kedua-dua kerajaan.

 

"Usanita sentiasa menyokong aspirasi kerajaan dan ingin memainkan peranan sebagai jambatan untuk usahawan. Jakarta merupakan langkah pertama kami sebelum meneroka kerjasama di Thailand dan Filipina tidak lama lagi," katanya yang turut berkongsi kerterujaan usahawan Filipina terhadap inisiatif Usanita semasa lawatan mereka ke Malaysia baru-baru ini.

 

Beliau berkata, tumpuan pihaknya pada masa ini adalah Indonesia dan beliau yakin inisiatif itu akan memberi manfaat ekonomi kepada kedua-dua negara melalui peningkatan hasil jualan produk menerusi usaha sama usahawan terbabit.

 

Katanya, kerjasama yang bakal dimeterai juga dijangka menarik pelaburan dalam sektor-sektor tertentu seperti industri kecantikan dan makanan, yang mana usahawan Indonesia mempunyai kepakaran dan telah menempa kejayaan besar.

 

"Walaupun kerjasama serupa telah diadakan sebelum ini, Usanita mampu melakukan pembaharuan dengan memanfaatkan rangkaian dan platform perniagaan yang telah dibina. Menerusi rangkaian luas dan platform perniagaan yang kukuh, inisiatif Usanita ini pasti akan memberikan impak yang signifikan," katanya.

 

Tambahnya, inisiatif berani yang dimulakan di Jakarta adalah selari dengan komitmen Usanita untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi melalui kerjasama inovatif.

 

Inisiatif strategik ini juga selari dengan matlamat ekonomi Malaysia yang lebih besar yang mana kerjasama yang terjalin bukan sahaja memanfaatkan usahawan terlibat tetapi akan turut menghasilkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pempelbagaian ekonomi.

 

Bagi memudahkan kerjasama tersebut, Usanita bakal menganjurkan bengkel dan majlis pertemuan antara usahawan kedua-dua negara. Ia akan menjadi platform untuk mereka bertukar pendapat, meneroka kerjasama dan membina asas untuk perkongsian perniagaan yang berpanjangan.

 

Menerusi program ini, Usanita akan turut berkongsi kisah kejayaan dan menerangkan bagaimana kerjasama antara usahawan mampu meningkatkan perniagaan di negara dan rantau lain. 

 

Naratif kejayaan itu diharapkan menjadi inspirasi dan mendorong lebih ramai usahawan untuk aktif terlibat dalam kerjasama rentas sempadan. - DagangNews.com