KUALA LUMPUR 10 Ogos - Persatuan Mahasiswa Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FALCOMM) Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program 'FALCOMM: Jelajah Selatan Thailand' bagi memperluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat di negara tersebut.
Falcomm memaklumkan, pihaknya berjaya mencapai misi penting untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu merentasi sempadan, bukan hanya di Malaysia tetapi juga di wilayah selatan Thailand.
Katanya, jelajah itu melibatkan wilayah Nakhon Si Thammarat, Songkhla, Pattani, dan Narathiwat.
"Konsep dan tujuan utama di sebalik program selama dua minggu bermula 17 hingga 30 Julai 2023 itu adalah bagi memberi kesempatan kepada para pelajar dan masyarakat setempat untuk memahami, mempraktikkan, dan menghayati bahasa Melayu serta budaya Malaysia.
"Pengantarabangsaan Bahasa Melayu"menjadi misi utama program ini, dengan para peserta disajikan peluang unik untuk berinteraksi dengan komuniti tempatan dan memahami kepelbagaian budaya masyarakat Thailand dari segi bahasa, adat, pemakaian, dan makanan," katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu, jelajah tersebut melibatkan seramai 21 pelajar dan 5 pengiring diketuai oleh Prof Madya Dr Adi Yasran Abdul Aziz bagi membuka peluang yang luas untuk pengguna bahasa dari serata dunia untuk mengangkat misi “Pengantarabangsaan Bahasa Melayu”.
Pelaksanaan program melibatkan kunjungan hormat ke School of Political Science and Laws, Walailak University, serta lawatan sambil belajar di sekitar kampus universiti hijau nombor satu di selatan Thailand itu.
Kunjungan hormat ini diadakan susulan 5 pelajar sekolah tersebut telah menjalani program pertukaran pelajar di FBMK, UPM selama enam bulan bermula Julai 2022 hingga Januari 2023.
Selain itu, slot mobiliti ini dirancakkan lagi dengan penganjuran 'Seminar Antarabangsa Pemartaban Bahasa Melayu (SAPBM) 2023' yang berlangsung pada 26 Julai 2023.
Majlis berlangsung selama empat sesi dan dirasmikan oleh Dekan FBMK, Prof Madya Dr Hazlina Abdul Halim, serta diucaptamakan oleh presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan, Datuk A Aziz Deraman.
Seminar ini merupakan acara julung pertama kali diadakan yang melibatkan universiti dari beberapa buah negara untuk membincangkan isu-isu kebahasaan dan pemartaban bahasa Melayu.
Sebagai tambahan, program 'FALCOMM: Jelajah Selatan Thailand' juga mengadakan aktiviti kesukarelawanan komuniti di Maahad Islam Imaneeyah, Tha Sala.
Di sini, peserta mengetengahkan asas Jawi dalam bahasa Melayu serta keunikan budaya masyarakat Malaysia kepada para pelajar sekolah rendah agama.
Malah, peserta program ini berkesempatan berkunjung ke Tapak Kerajaan Tua Langkasuka serta ke Muzium Al-Quran dan Khazanah Manuskrip Lama bagi mengimbau keunikan sejarah Melayu terdahulu untuk dijadikan pedoman.
Tidak ketingalan , para peserta berpeluang merasai sendiri pengalaman menanam pokok paya bakau bagi mengindahkan alam, selari dengan hasrat UPM dalam melestarikan bumi.
Justeru, diharapkan program ini akan terus berkembang dan memberi impak positif dalam memartabatkan bahasa Melayu serta memperkukuh hubungan baik antara Malaysia dengan Thailand, khususnya Universiti Putra Malaysia dengan Walailak University. - DagangNews.com