KUALA LUMPUR 24 Sept – Co-opbank Pertama (CBP) telah meneruskan siri Program Kotak Rezeki CB-Prihatin bagi membantu golongan asnaf, fakir, miskin dan B40 yang menetap dalam lingkungan berhampiran dengan cawangan CBP sempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun 2021.
Untuk kali ini, agihan kotak rezeki telah dibuat menerusi 12 cawangan CBP terpilih di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan di sepanjang bulan Ogos dan September. Sebanyak RM120,000 telah disalurkan menerusi peruntukan wakalah zakat perniagaan CBP.
Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari berkata, objektif utama CBP menganjurkan program ini adalah untuk melaksanakan tanggungjawab sosial CBP kepada komuniti yang memerlukan bantuan terutama golongan asnaf, fakir, miskin serta golongan B40 yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Selain itu, ia juga bertepatan dengan hasrat untuk merealisasikan semangat Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob bersempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia ke-58 pada tahun ini.
Lebih dari 2,000 ketua keluarga yang dikenal pasti melalui kerjasama dengan ketua masyarakat setempat telah menerima manfaat dari program ini.
Walaupun terkesan dengan penularan COVID-19, CBP tetap meneruskan usaha untuk melaksanakan tanggungjawab sosial membantu masyarakat kerana CBP sentiasa peka dengan keadaan persekitaran dan sentiasa responsif terhadap kebajikan golongan yang memerlukan bersesuaian dengan prinsip asas gerakan koperasi yang menitikberatkan nilai-nilai kekeluargaan dan prihatin terhadap masyarakat sekeliling.
Selain Program Kotak Rezeki CB-Prihatin, CBP juga aktif melaksanakan tanggungjawab sosialnya menerusi program CSR Kembali Ke Sekolah dan sumbangan peranti tablet kepada sekolah terpilih di seluruh negara sebelum ini.
Program Kotak Rezeki ini akan diteruskan di sepanjang bulan Oktober hingga Disember 2021.
Co-opbank Pertama (CBP) telah ditubuhkan pada 7 Jun 1950. Pada September 2014, CBP telah diiktiraf oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Bank Negara Malaysia sebagai sebuah bank koperasi.
CBP mempunyai 28 buah cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. CBP menawarkan pelbagai produk Pembiayaan Individu, Koperasi serta Korporat, Ar-Rahnu, Deposit, Syer Keanggotaan serta Takaful dan Wasiat. – DagangNews.com