Program literasi kewangan UPM bantu tingkatkan kesedaran kepentingan pendidikan kewangan  | DagangNews Skip to main content

Program literasi kewangan UPM bantu tingkatkan kesedaran kepentingan pendidikan kewangan 

Seramai 300 pelajar dan kakitangan Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai Program Literasi Kewangan sempena Bulan Literasi Kewangan, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Okt - Seramai 300 pelajar dan kakitangan Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai Program Literasi Kewangan sempena Bulan Literasi Kewangan pada bulan ini yang diadakan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) UPM baru-baru ini.

 

Program anjuran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) bertujuan untuk meningkatkan tahap literasi kewangan dan memberi kesedaran mengenai kepentingan pendidikan kewangan kepada rakyat Malaysia, khususnya dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi di dalam era digital ini. 

 

Program ini juga dijalankan untuk menyokong pelaksanaan projek rintis pendidikan kewangan di institusi pendidikan tinggi oleh Sekretariat Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) yang mana UPM merupakan salah satu IPT rintis bagi projek ini.

 

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof Dr Ismi Arif Ismail berkata, program ini merupakan platform terbaik buat pelajar dan juga staf dalam melahirkan modal insan yang mempunyai asas mengurus kewangan kendiri yang cekap bagi menjalani kehidupan seharian dengan lebih efisien bersesuaian dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 bagi Matlamat 1 iaitu Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang.

 

"Dengan meningkatkan kemampuan dan keupayaan tahap literasi kewangan rakyat Malaysia dan warga UPM khususnya, kita dapat memupuk masyarakat yang lebih berjati diri dalam membina kesejahteraan kewangan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Prof. Dr. Ismi Arif turut menekankan bahawa literasi kewangan juga penting bagi membantu masyarakat agar tidak terjebak dengan penipuan kewangan yang menggunakan pelbagai modus operandi terkini dan lebih berpengetahuan tentang risiko berkaitan penggunaan kewangan digital.

 

Siri jelajah di UPM ini, pihak FEN turut berkongsi cara-cara mengelak daripada menjadi mangsa penipuan kewangan selain sesi perkongsian tentang perkhidmatan kewangan digital secara selamat, jenayah kewangan, perancangan kewangan, perlindungan sosial serta kepentingan insurans dan takaful.  

 

 

upm
Prof Dr Ismi Arif Ismail

 

 

upm

 

 

Turut hadir dalam program ini, Pengurus Jabatan Rangkuman Kewangan  BNM merangkap Sekretariat FEN, Norakma Mohd Ghazali; Bursar UPM, Izariahwati Mohd Isa; Dekan SPE UPM, Prof Dr Bany Ariffin Amin Nordin; Dekan Fakulti Ekologi Manusia UPM; Prof Dr Mohamad Fazli Sabri dan Ketua Pentadbiran Akademik dan Antarabangsa Bahagian Akademik UPM, Mohd Nazri Md Yasin. - DagangNews.com