Program PVIP bakal tarik ramai pelabur asing, beri manfaat kepada hartanah Mah Sing | DagangNews Skip to main content

Program PVIP bakal tarik ramai pelabur asing, beri manfaat kepada hartanah Mah Sing

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Sept - Mah Sing Group Berhad memuji usaha kerajaan dalam melancarkan Premium Visa Programme (PVIP) bagi menarik pelabur asing untuk datang ke Malaysia.

 

PVIP ini adalah program tambahan kepada Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

 

Berbanding MM2H, program itu membolehkan mereka tinggal lebih lama (20 tahun) selain belajar, membeli hartanah, melabur, bekerja dan menjalankan perniagaan.

 

Pengasas Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, PVIP itu membolehkan peserta program membeli hartanah di Malaysia, sekali gus memberi manfaat kepada pembangunan mereka di Lembah Klang (M Oscar, M Vertica, dan Icon Mont Kiara), Utara (Feringghi Residence 2), dan Selatan (Meridin Medini 1 & 2 dan Meridin Bayvue).

 

"Kami juga berharap program ini akan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke negara dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi nilai mata wang negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Permohonan itu dibuka bermula 1 Oktober 2022, pemohon program itu mesti mempunyai sekurang-kurangnya RM1 juta dalam akaun bank dan hanya boleh mengeluarkan 50% daripada jumlah itu selepas setahun untuk membayar pembelian hartanah atau perbelanjaan perubatan dan pendidikan.

 

Kerajaan menyasarkan 1,000 peserta pada tahun pertama program dan ia bakal menyumbang RM200 juta kepada ekonomi dan simpanan tetap sebanyak RM1 bilion.

 

Beliau berkata, semua sedia maklum bahawa pengumuman Bajet 2023 akan datang akan terus mengutamakan kebajikan Keluarga Malaysia selain menyediakan negara untuk menghadapi krisis ekonomi global yang lebih mencabar tahun depan.

 

"Sebagai pemaju hartanah Malaysia, kami menyokong inisiatif kerajaan untuk menjadikan pemilikan rumah lebih mudah diakses terutamanya pembeli kali pertama," katanya. - DagangNews.com