Program #QuranHour hayati institusi kekeluargaan sempena 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia | DagangNews Skip to main content

Program #QuranHour hayati institusi kekeluargaan sempena 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia

KUALA LUMPUR 10 Dis - Program Keluarga Malaysia #QuranHour dengan visi ‘Masuk syurga sekeluarga’ sempena Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di KLCC, hari ini berlangsung dengan penuh penghayatan ayat kitab suci al-Quran berkaitan institusi kekeluargaan.

 

Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu diadakan dari 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.

 

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF Marhaini Yusoff mengajak orang ramai agar kembali kepada al-Quran dan sunnah sebagai rujukan, seterusnya melahirkan keluarga Muslim Malaysia yang menjadi model kepada keluarga lain.

 

“Program ini mengangkat peranan ayah sebagai pemimpin, ibu sebagai pendamping, anak sebagai pejuang atau jambatan, datuk dan nenek sebagai model untuk
bina syurga di rumah, bina rumah di syurga dan berjuang masuk syurga sekeluarga,” katanya dalam kenyataan sempena program tersebut.

 

Program itu turut disertai Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang juga Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Jamil dalam pesanan Keluarga Malaysia secara ringkas berkata, gagasan yang dibentuk Perdana Menteri merangkumi pelbagai bangsa, budaya, agama, anutan dan
bahasa yang menghasilkan pembentukan Keluarga Malaysia.

 

Kira-kira 300 pengunjung menyertai program selama sejam itu yang menampilkan lima pentadabbur (individu yang menghayati dan merenung sehingga meresap makna ayat al-Quran ke dalam hati) dan enam qari, termasuk Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Datuk Dr Nooh Gadut.

PM

Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia berlangsung selama empat hari bermula semalam,  di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mulai dari  9 pagi hingga 10 malam.

 

Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia anjuran Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) Jabatan Perdana Menteri itu, menampilkan galeri pencapaian kementerian, program bantuan, pameran kementerian dan agensi, persembahan kebudayaan, pameran serta jualan usahawan. - DagangNews.com